ACURA NSX.
ACURA NSX.
Erywan Norshal


Penantian hampir sedekad berakhir apabila kereta super Acura NSX generasi kedua dipasarkan di Amerika Syarikat pada musim bunga tahun ini.

Selepas Amerika Syarikat, barulah ia dipasarkan secara berperingkat di negara luar termasuklah Jepun.

Bagi pasaran negara berkenaan, jentera itu dikenali sebagai Acura NSX tetapi pasaran negara lain namanya dipanggil Honda NSX.

Namun, kedua-duanya menggunakan nama singkatan sama iaitu ‘New Sports eXperience’ (NSX) yang dibangunkan dengan gabungan enjin V6 twin turbo serta tiga motor hibrid.

Pemasangannya itu akan dilakukan di Pusat Kilang Prestasi (PMC) baharu di Marysville, Ohio, Amerika Syarikat, akhir April ini.

Kilang baharu itu hanya mempunyai 100 pekerja untuk memasang Acura NSX yang mengambil masa hampir 14 jam untuk disiapkan.

Selain rekaan baharu, model berkenaan dilengkapi bentuk kerangka pelbagai bahan revolusi yang memberikan ketegaran badan mendahului kelasnya selain mencapai tahap aerodinamik terbaik.

Acura NSX dilengkapi enjin 3.5 liter V6 pegecas turbo berkembar dengan klac berkembar transmisi sembilan kelajuan yang turut dilengkapi tiga motor Sport Hybrid SH-AWD.

Enjin baharu itu menawarkan pusat graviti paling rendah, selain menggunakan teknologi perlumbaan yang menggabungkan rekaan sistem saluran terus dan pancitan.

Bekalan kuasanya menyalurkan pemanduan dinamik yang digabungkan dengan ciri perlindungan alam sekitar secara optimum.

Bagi mengurangkan kepanasan, model berkenaan dilengkapi 10 penukar haba udara sejuk yang bertanggungjawab menyejukkan unit motor berkembar, enjin dan transmisi.

Kereta itu dilengkapi ciri paling termaju menerusi sistem Pemanduan Pengendalian Sport Hibrid Super Pacuan Semua Roda.

Sistem itu menawarkan ciri baharu untuk meningkatkan pengalaman memandu dengan bertindak balas secara responsif mengikut kehendak pemandu.

Menariknya, mereka yang berminat untuk memiliki kenderaan itu boleh menempah aksesori mengikut cita rasa menerusi laman sesawang di mana harga asasnya dijual pada AS$156,000 (RM626,748).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 5:01 AM