HYUNDAI Ioniq berciri moden.
HYUNDAI Ioniq berciri moden.
BAHAGIAN belakang yang sporty.
BAHAGIAN belakang yang sporty.
SESI pandu uji di sekitar Selangor dan Putrajaya.
SESI pandu uji di sekitar Selangor dan Putrajaya.
REKA bentuk Hyundai Ioniq berciri aerodinamik.
REKA bentuk Hyundai Ioniq berciri aerodinamik.
RUANG dalaman yang mewah.
RUANG dalaman yang mewah.
PAPARAN panel audio.
PAPARAN panel audio.
PAPARAN meter LCD sepenuhnya.
PAPARAN meter LCD sepenuhnya.
BOLEH mengecaj telefon pintar tanpa wayar.
BOLEH mengecaj telefon pintar tanpa wayar.
Mohd Razlan Salleh


Menakjubkan. Itulah kata-kata yang boleh penulis lontarkan sebaik selesai sesi pandu uji Hyundai Ioniq yang dianggap berbaloi untuk dimiliki terutama apabila memikirkan harga bahan api yang tidak menentu ketika ini.

Model kelas kenderaan hibrid elektrik (HEV) ini menjimatkan bahan api dan seronok dipandu, malah turut dilengkapi pelbagai gajet terkini yang sangat diperlukan ketika ini.

Ciri luarannya jelas menunjukkan Ioniq bukan sekadar kenderaan biasa kerana reka bentuknya kelihatan futuristik, secara tidak langsung menggambarkan teknologi yang ada padanya.

Gril hadapan lebih besar diapit bersama perumah lampu hadapan tirus menawarkan wajah segar sebuah kenderaan moden.

Sepasang lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk ‘boomerang’ pada bampar menambah seri jentera buatan Korea Selatan ini.

Garis lentur bermula dari sisi hadapan sehingga ke perumah lampu belakang menjanjikan tindak balas aerodinamik lebih baik ketika memandu dalam sebarang keadaan cuaca.

Manakala perumah lampu belakang LED berbentuk ‘C’ bersama bampar yang sporty menyebabkan model dilancarkan Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) ini kelihatan cukup sempurna.

Menerjah ke ruang dalamannya pula, balutan kulit pada semua kerusi mencerminkan kemewahan manakala papan pemuka ringkas bersama padanan butang kawalan penghawa dingin automatik dan sistem audio yang memudahkan pemandu.

Bahagian bawah papan pemuka menempatkan dua unit port USB bersama Sistem Pengecas Tanpa Wayar untuk peranti mudah alih. Memang praktikal.

Sebaik enjin dihidupkan menggunakan butang penghidup, ngauman tidak terlalu garang tetapi masih boleh dianggap terbaik.

Ini kerana Ioniq menggunakan dua sumber kuasa iaitu petrol dan elektrik.

Sebaik pedal minyak ditekan, terasa kuasa dihamburkan sangat lancar.

Padanan enjin Kappa 1.6 Atkinson empat silinder bersama kotak gear baharu enam kelajuan klac berkembar (6DCT) terasa lembut.

Semakin keras pedal ditekan, motor elektriknya dijana bateri polimer lithium-ion berkapasiti 1.56kWh berkuasa 42kW dikerah untuk membantu.

Tidak hairan jentera HEV ini mampu memecut melebihi 180km/j.

Sekiranya ingin merasai pemanduan lebih bertenaga, tukarkan kepada mod ‘sporty’ dan secara automatik skrin paparan meter LCD penuh bersaiz tujuh inci akan bertukar wajah lebih garang.

Enjin dwikuasa ini menghasilkan kuasa 105PS pada 5,700rpm dengan tork maksimum 147Nm pada 4,000rpm. Cukup untuk membawa lima penumpang dengan selesa.

Walaupun kenderaan terasa sedikit bergoyang ketika mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi, namun perkara itu adalah normal kerana Ioniq dicipta sebagai kereta sedan hatchback untuk keluarga, bukan untuk tujuan ‘perlumbaan’.

Antara keistimewaan Ioniq adalah teknologi pintar Lane Keeping Assist System (LKAS) yang akan mengawal stereng sekiranya pemandu terleka.

Biarkan sahaja jentera ini mengawal stereng sebelum kedengaran bunyi ‘bip’ yang menandakan kawalan pintar berakhir, seterusnya pemandu perlu mengawal kenderaan sepenuhnya.

Dari segi keselamatan lain, Ioniq dilengkapi sistem Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), Sistem Parkir Depan Belakang, tujuh beg udara, Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS), Pengesan Titik Buta (BSD), Sistem Brek Kecemasan Automatic (AEB), Kawalan Pemanduan Pintar (SCC) dan Sensor Hujan.

Berharga RM103,390.27 termasuk insurans bagi varian HEV dan RM114,165.87 bagi varian HEV Plus, jentera HEV pertama ini sesuai untuk mereka yang mahukan kenderaan pintar, sporty dan paling penting - jimat minyak.

Tujuh warna ditawarkan antaranya hitam, putih, perak, kelabu, biru dan jingga sebagai warna eksklusif untuk varian HEV Plus.

INFO

HYUNDAI IONIQ HYBRID HEV PLUS

• ENJIN: Kappa 1.6 Atkinson GDI bersama motor elektrik PMSM 42kW

• KUASA MAKSIMUM: 105PS pada 5,700rpm

• TORK MAKSIMUM: 147Nm pada 5,000rpm

• TRANSMISI: Automatik enam kelajuan klac berkembar (DCT)

• CIRI KESELAMATAN: 7 beg udara, LKAS, VSM, TPMS, BSD, AEB dan SCC

• HARGA ATAS JALAN TERMASUK INSURANS: RM114,165.87

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 5:03 AM