HYUNDAI Sonata generasi terbaru.
HYUNDAI Sonata generasi terbaru.
TEMPAT duduk belakang lebih luas.
TEMPAT duduk belakang lebih luas.
RUANG kabin tampak kemas dan tersusun.
RUANG kabin tampak kemas dan tersusun.
Oleh Erywan Norshal


Kehadiran Hyundai Sonata generasi ketujuh pasti memberi saingan sengit dalam pasaran kereta kategori segmen D yang menjadi pilihan golongan eksekutif.

Bagi model terbaru yang dilancarkan di Korea Selatan pada Mac tahun lalu, ia bakal bersaing dengan model lain seperti Honda Accord, Toyota Camry, Nissan Teana, Mazda6, Kia Optima K5 dan Volkswagen Passat.

Ia berbeza berbanding generasi terdahulu selepas menerapkan rekaan lebih mantap dengan penambahbaikan membabitkan kekuatan, kestabilan, tampak ringkas dan perincian.

Menariknya, 51 peratus kerangka jentera premium segmen D itu menggunakan material Keluli Kekuatan Tinggi Termaju (AHSS) yang dua kali lebih kuat berbanding keluli biasa.

Ia dibangunkan dalam masa tiga tahun dengan menerapkan rekaan berkonsep tradisi terdahulunya iaitu ‘Fluidic Sculpture 2.0’ yang tampak seni bina lebih halus dan matang.

Dalam tempoh itu juga, ia diuji di litar lumba Nurburgring Nordschleife, Jerman dalam persekitaran mencabar, selain dipandu sejauh 180,000 kilometer (km) semata-mata untuk menguji ketahanannya.

Hyundai Sonata terbaru itu dijana oleh enjin bersesaran 2.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 154 PS pada 6,500 rpm dan tork maksimum 194 Nm pada 4,000 rpm serta dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Bagi memberi pilihan, Hyundai-Sime Darby Motors Sdn Bhd selaku pengedar jenama Hyundai di negara ini menawarkan tiga varian membabitkan Elegance B, Elegance dan Executive.

Sistem audio bagi varian Elegance dan Executive menggunakan unit Audio Navigasi Visual (AVN) dengan paparan LCD bersaiz 4.2 inci yang menggunakan sistem Android KitKat terbaru.

Hyundai Sonata itu juga lebih panjang sehingga 35 milimeter (mm) dan lebar (30 mm) berbanding model generasi terdahulu, sekali gus memberi kelegaan kepada penumpang serta menawarkan ruang but seluas 462 liter.

Semua model berkenaan dilengkapi Sistem Anti Brek (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan beg udara.

Hyundai Sonata generasi ketujuh itu dijual antara RM143,163.30 sehingga RM158,053.30. Ia turut ditawarkan tempoh jaminan selama lapan tahun atau 300,000 kilometer untuk enjin dan transmisinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:01 AM