HYUNDAI Sonata Hibrid.
HYUNDAI Sonata Hibrid.
ENJIN hibrid dipasang pada Hyundai Sonata.
ENJIN hibrid dipasang pada Hyundai Sonata.
Mohd Razlan Salleh


Pemanduan Biru adalah satu komitmen Hyundai membangunkan teknologi termaju berkaitan penjagaan alam sekitar dan pada masa sama, membantu mengurangkan pencemaran daripada sektor automotif.

Visi itu bertujuan meningkatkan pelbagai kenderaan sel hibrid dan bahan api hidrogen dalam jangka pendek dengan matlamat jangka panjang kejuruteraan sifar pelepasan kenderaan CO2.

Hyundai Motor turut memperkenalkan beberapa teknologi hijau dan membangunkan kereta mesra alam dengan bimbingan daripada strategi ‘Blue Drive’.

Antara model kenderaan dibangunkan melalui ciri ini termasuk Sonata Hybrid 2016, Sonata Plug-in Hybrid 2016 dan Cell Tucson Fuel 2015.

Melalui program ini, Hyundai mentakrifkan kenderaan miliknya terus bersaing dalam dunia automotif yang penuh dengan kemungkinan baru untuk masa depan lebih baik.

Baru-baru ini, Hyundai turut menerima Anugerah Teknologi oleh Auto Express UK untuk teknologi hijaunya.

Syarikat automotif ini diiktiraf sebagai pengeluar pertama menawarkan pelanggan rangkaian lengkap ekoteknologi termasuk model ‘Blue Drive’ di semua barisan kenderaannya termasuk IONIQ, kereta pertama di dunia menawarkan tiga rangkaian kuasa elektrik bersama sel bahan api hidrogen.

Tahun lalu, model hijau Hyundai Motor melalui Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV), Plug-in Kenderaan Elektrik Hibrid (PHEV) yang boleh dicaj menggunakan tenaga elektrik grid selain Kenderaan Elektrik (EV) dan Sel Bahan Api Kenderaan Elektrik (FCEV) dianggap yang terbaik di dunia.

Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV)

HEV menggabungkan dua sumber kuasa enjin pembakaran dalaman dan motor elektrik. Sebagai pembangunan inovatif Hyundai, teknologi hibrid miliknya mencapai penjimatan bahan api lebih baik dengan kecekapan teknologi kawalan Generator Penghidup Hibrid yang membantu kawalan klac enjin dan mengurangkan ketegangan antara bateri elektrik serta enjin.

PHEV

Plug-in Kenderaan Elektrik Hibrid (PHEV) adalah kenderaan hibrid termaju dengan hayat bateri yang panjang dan ketumpatan tenaga yang lebih besar untuk penjimatan bahan api serta jarak pemanduan lebih jauh.

Sama ada mod EV atau HEV, PHEV mempunyai kelebihan ketara untuk menyediakan prestasi pemanduan lebih besar di samping mengurangkan tahap pelepasan dengan memulihkan tenaga daripada sumber kuasa elektrik luar.

EV

Kenderaan Elektrik (EV) menggunakan sumber tenaga elektrik daripada motor elektrik dan bateri berkepadatan tinggi boleh dicas semula untuk pendorongan.

Oleh kerana menggunakan elektrik sebagai sumber kuasa, EV membantu mengurangkan pelepasan karbon. Dilengkapi pek bateri 27kWh Litium Polimer (Li-Poly), EV Hyundai menyediakan penyelesaian untuk prestasi terbaik, ketumpatan tenaga lebih tinggi dan kelajuan optimum.

FCEV

Dengan menggabungkan hidrogen dan oksigen atom dalam kebuk bahan api, Sel Bahan Api Kenderaan Elektrik (FCEV) memampatkan hidrogen di bawah tekanan tinggi dan menghasilkan tenaga elektrik sendiri untuk kuasa dengan pelepasan ekzos sifar.

Sebagai pemaju pertama kenderaan sel bahan api besar-besaran pertama dunia, Hyundai terus menerajui masa depan teknologi permotoran mampan.

Hyundai bersama sekutunya, Kia Motors berjaya menduduki tempat keempat dunia dalam jualan kenderaan mesra alam.

Dengan 73,746 kenderaan dijual tahun lalu membabitkan 64,533 hibrid, 8,712 (EV), 256 (FCEV) dan 245 (PHEV), jualan kereta hijau Hyudai-Kia meningkat sejak 2011.

Sebanyak 30,607 kenderaan mesra alam terjual pada 2011, meningkat kepada 60,087 unit pada tahun berikutnya dan 64,262 pada 2013 serta 70,184 unit pada 2014.

Jumlah itu meyakinkan Hyundai dalam pasaran kereta hibrid dengan pelancaran Hibrid IONIQ yang akan bersaing bersama Toyota Prius.

Berdasarkan jualan terkumpul global, pasaran hibrid menguasai kira-kira 78 peratus daripada jumlah pasaran kereta hijau dan Hyundai IONIQ HEV dijangka turut dilancarkan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 5:02 AM