Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Wanita lumpuh rentung, manakala empat cedera termasuk ibu mengandung dalam kebakaran membabitkan 12 rumah di Kalansanan, Inanam, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa, Idam Hamid berusia lingkungan 50 tahun ditemukan rentung oleh pasukan bomba sebaik kebakaran dapat dikawal.

Ketua Zon Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.10 malam.

Katanya, 31 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati api marak dan pasukan bomba segera melakukan pemadaman.

"Api berjaya dikawal 1.16 pagi dan bomba menemukan seorang mangsa dalam keadaan rentung," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, tiga mangsa termasuk seorang wanita berusia 16 hingga 20 melecur dan seorang wanita mengandung berusia 23 tahun pengsan.

"Semua mangsa terbabit kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Kebakaran itu menyebabkan 12 rumah dihuni 14 keluarga musnah sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta jumlah kerugian.

Sementara itu, Pengarah Penguat kuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Abdul Mukti Muchlish berkata, semua mangsa kebakaran akan ditempatkan di Dewan Serbaguna Likas.

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan api dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan beberapa buah rumah di Kampung Kalansanan, dekat Inanam Laut, di sini, malam tadi. Seorang wanita warga emas yang lumpuh ditemui rentung dalam kejadian ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan api dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan beberapa buah rumah di Kampung Kalansanan, dekat Inanam Laut, di sini, malam tadi. Seorang wanita warga emas yang lumpuh ditemui rentung dalam kejadian ini. FOTO MOHD ADAM ARININ

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 8:42 AM