Oleh Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Lelaki berusia 52 tahun maut apabila kereta yang dipandunya dilanggar dengan sebuah lagi kereta sehingga terputus dua dalam kemalangan di Jalan Tuaran By Pass berhampiran simpang Kampung Kalansanan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.40 malam itu, mangsa Yacob Ahmad, 52, yang memandu Proton Iswara meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu dan penumpang kereta Perodua Kelisa yang parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa membuat pusingan U sebelum dilanggar Perodua Kelisa itu dari arah Telipok menuju ke pusat bandar raya.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 8.47 malam dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Mangsa yang tersepit di dalam kereta Iswara kemudian berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 1:03 AM