KEBAKARAN memusnahkan kira-kira 30 rumah papan yang mengakibatkan lebih 150 penduduk hilang tempat tinggal di Kampung Sarip, Lahad Datu. Gambar kecil, dua beradik yang meredah kebakaran demi menyelamatkan ibu mereka. FOTO Ihsan Bomba, Ainul Durmahyanty Durming
KEBAKARAN memusnahkan kira-kira 30 rumah papan yang mengakibatkan lebih 150 penduduk hilang tempat tinggal di Kampung Sarip, Lahad Datu. Gambar kecil, dua beradik yang meredah kebakaran demi menyelamatkan ibu mereka. FOTO Ihsan Bomba, Ainul Durmahyanty Durming
Norasikin Daineh dan Ainul Durmahyanty Durming


DUA beradik sanggup meredah masuk ke dalam rumah yang hampir terbakar demi menyelamatkan ibu mereka yang lumpuh daripada rentung dalam kebakaran di Kampung Sarip, Lahad Datu, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, lebih 30 rumah di perkampungan setinggan terbabit musnah akibat kebakaran menyebabkan lebih 150 penghuni hilang tempat tinggal.

Menurut Norman Portunado, 38, api merebak dengan pantas dan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan serta dokumen penting.

"Dalam kepala saya hanya memikirkan bagaimana mahu menyelamatkan ibu yang lumpuh keluar dari rumah kerana bimbang api merebak dengan pantas.

"Mujur ada adik perempuan saya dan kami bertungkus lumus mendukung ibu yang ketika kejadian berbaring di bilik lalu kami mendukungnya keluar rumah sebelum api semakin marak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Berikutan kejadian itu, Norman berkata, rumah yang didiami lapan sekeluarga itu musnah sepenuhnya bersama rumah lain di kawasan terbabit.

Bagi seorang lagi penduduk, Noraida Iskul, 39, angin yang kuat menyebabkan api merebak dengan pantas.

"Sekelip mata saja api merebak dan memusnahkan kediaman kami. Mujur saya tersedar apabila terdengar jeritan jiran sebelum mengejutkan anak yang sedang tidur serta segera menyelamatkan diri," katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Lahad Datu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.06 pagi.

"Tiga jentera bersama 12 anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai bomba. Menurut ketua operasi, kebakaran berlaku di perkampungan setinggan dan membabitkan kira-kira 30 rumah tidak kekal," katanya.

Khatizah berkata, usaha memadamkan kebakaran segera dilakukan sebelum berjaya dikawal pada 2.16 petang. Operasi ditamatkan pada 6.01 pagi dan hasil pemeriksaan, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini," katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 3:32 PM