MOHAMMAD Agus. FOTO arkib Bernama
MOHAMMAD Agus. FOTO arkib Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Polis merakam keterangan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, hari ini.

Proses rakaman keterangan dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, kira-kira jam 11 pagi ini.

Peguam Mohammad Agus, Zaflee Pakwanteh ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan perkara itu.

"Saya akan bersama beliau untuk rakaman keterangan di IPD Kajang pagi ini," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Mohammad Agus Yusoff dipanggil untuk dirakam percakapan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Ia bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap kakitangan J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, yang dikatakan berlaku di Bintulu, Sarawak pada Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan polis melakukan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan Mohammad Agus terhadap Abdul Wahab yang dipercayai berlaku di sebuah hotel di Bintulu pada 21 Oktober lalu.

Beliau berkata, polis sudah membuka siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan.

Siasatan dijalankan selepas Abdul Wahab tampil membuat laporan di Balai Polis Kajang bersama peguamnya, Faizal Abd Rahman pada 30 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 1:05 PM