DR Mohammad Agus (kiri) dan Abdul Wahab pada sidang media di Bangi hari ini. FOTO Bernama.
DR Mohammad Agus (kiri) dan Abdul Wahab pada sidang media di Bangi hari ini. FOTO Bernama.
Raja Noraina Raja Rahim


Bangi: "Wahab ini naif, dia anak kecil dan saya anggapnya seperti anak sendiri," kata Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mengulas hubungannya dengan penolong pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33.

Kedua-duanya mengadakan sidang media di sini, hari ini susulan panggilan video berunsur lucah didakwa mengaitkan mereka yang tular di media sosial sejak semalam.

Rakaman itu didakwa palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab dikatakan bertujuan menjatuhkan reputasi Mohammad Agus yang sudah meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM.

Menurut Mohammad Agus, beliau mengenali individu berpengaruh dikenali Mr H dan beberapa individu lain yang disenaraikan Abdul Wahab2, yang dipercayai berkomplot bagi menjatuhkan reputasinya.

"Wahab sudah menceritakan perkara sebenar kepada saya. Saya kenal Mr H dan beberapa individu disenaraikan tapi tidak akan dedahkan. Saya serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

"Video itu sudah disunting oleh pihak yang ingin jatuhkan saya, mana mungkin saya buat perkara seperti itu. Saya anggap Wahab ini seperti anak saya sendiri malah, anak sulung saya lebih berusia daripadanya.

"Saya akui ada buat panggilan video dan ketika panggilan itu dibuat, saya sedang bercuti. Saya sudah tidak ingat kandungan perbualan kami," katanya.

Selain itu, Dr Mohammad Agus mengakui beberapa kali membuat panggilan video bersama Wahab sejak lelaki itu memulakan tugas di J-KOM pada awal bulan ini, namun ia berkaitan kerja dan perbualan santai.

Katanya, penyebaran video fitnah itu bukan saja menjatuhkan reputasinya malah mengaibkan keluarga selain ditohmah masyarakat.

Beliau memaklumkan sudah membuat laporan polis di Balai Polis Kajang untuk tindakan lanjut dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 11:49 PM