MOHAMMAD Agus (kiri) dan Abdul Wahab. FOTO Bernama
MOHAMMAD Agus (kiri) dan Abdul Wahab. FOTO Bernama
Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Siasatan terhadap bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkait dakwaan melakukan gangguan seksual sudah selesai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin, ketika mengesahkan perkembangan terbaharu itu berkata, kertas siasatan berkait kes itu sudah lengkap dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

"Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 18 Disember 2023.

"Buat masa ini, kertas siasatan itu masih di dalam kajian dan semakan Pejabat Peguam Negara," katanya kepada BH, hari ini.

Pada 14 Disember lalu, Mohamad Agus dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan gangguan seksual olehnya terhadap kakitangan J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan polis melakukan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan bekas Ketua Pengarah J-KOM itu yang dipercayai berlaku di sebuah hotel di Bintulu pada 21 Oktober lalu.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D akta sama atas kesalahan melanggar kesopanan.

Siasatan dijalankan selepas Abdul Wahab tampil membuat laporan di Balai Polis Kajang bersama peguamnya, Faizal Abd Rahman pada 30 November lalu.

Sebelum ini, polis menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah didakwa membabitkan Mohammad Agus dan Abdul Wahab.

Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM dan mendakwa video perbualan yang mengaitkan beliau itu palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 4:04 PM