AGUS Yusoff dan Abdul Wahad Abdul. FOTO arkib NSTP
AGUS Yusoff dan Abdul Wahad Abdul. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis masih mengesan Penolong pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, bagi membantu siasatan berhubung kes rakaman video perbualan lucah kononnya membabitkan dirinya dan bekas Ketua Pengarah J-KOM Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini, Abdul Wahab belum tampil bagi memberikan keterangan kepada polis.

Katanya, pelbagai usaha dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi mengesan Abdul Wahab.

"Abdul Wahab sudah dipanggil untuk membantu siasatan, tapi masih belum tampil.

"Kita cuba menghubunginya (Abdul Wahab) namun telefon bimbit dimatikan," katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.

Razarudin berkata, usaha mengesan Abdul Wahab melalui peguam juga tidak berhasil apabila dia tidak menjawab panggilan.

Justeru, beliau meminta Abdul Wahab segera tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kelmarin, Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, polis sudah merakam keterangan tiga individu iaitu Mohammad Agus, individu dikatakan 'Mr H' dan pekerja hotel yang mana sidang media diadakan.

Beliau bagaimanapun berkata, identiti Mr H tidak dapat didedahkan atas faktor keselamatan.

Malah, katanya, identiti Mr H masih misteri kerana polis belum dapat mengesahkan individu yang hadir memberikan keterangan itu adalah Mr H seperti yang dimaksudkan Abdul Wahab.

Pada 17 November lalu, Abdul Wahab dalam satu sidang media di sebuah hotel di Bangi mendedahkan tindakannya merakam perbualan berunsur lucah bersama Mohammad Agus didalangi seorang individu dikenali sebagai Mr H.

Susulan kenyataannya itu, polis memanggil individu dipercayai Mr H yang dimaksudkan bagi dirakam keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 3:02 PM