MOHAMMAD Agus di dalam kenderaannya selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kajang. FOTO Eizairi Shamsudin
MOHAMMAD Agus di dalam kenderaannya selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kajang. FOTO Eizairi Shamsudin
Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, selesai memberikan keterangan kepada polis, hari ini.

Beliau bersama peguam, Zaflee Pakwanteh dilihat meninggalkan pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dengan menaiki kenderaan pelbagai guna Toyota Estima pada jam 1.17 tengah hari.

Difahamkan, proses rakaman keterangan itu berlangsung selama dua jam bermula jam 11 pagi.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Mohammad Agus Yusoff dipanggil untuk dirakam percakapan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Ia bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap kakitangan J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, yang dikatakan berlaku di Bintulu, Sarawak pada Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan polis melakukan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan Mohammad Agus terhadap Abdul Wahab yang dipercayai berlaku di sebuah hotel di Bintulu pada 21 Oktober lalu.

Beliau berkata, polis sudah membuka siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377 D atas kesalahan melanggar kesopanan.

Siasatan dijalankan selepas Abdul Wahab tampil membuat laporan di Balai Polis Kajang bersama peguamnya, Faizal Abd Rahman pada 30 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 2:07 PM