DATUK Seri Fadillah Yusof. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DATUK Seri Fadillah Yusof. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kestabilan politik dan perpaduan menjadi asas di Sarawak untuk mencatat kejayaan terutama dalam menuntut hak-hak negeri seterusnya membina ekonomi negeri yang ampuh.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Pengerusi Pengelola Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2023 berkata kejayaan demi kejayaan telah dicapai Bumi Kenyalang sehingga kini, khususnya di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Percayalah kesemua kejayaan besar yang dicapai Sarawak setakat tok (ini)... tidak akan dapat kita capai tanpa kestabilan politik, perpaduan dan keharmonian kaum.

"Kerana perpaduan jitu rakyat Sarawak di bawah kerajaan pimpinan GPS maka suara Sarawak menjadi penentu kepada pembentukan Kerajaan Persekutuan dalam krisis politik negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hingga ke PRU15," katanya pada Majlis Makan Malam Anak Sarawak sempena LBAS 2023 di sini malam ini.

Beliau berkata Sarawak telah berjaya memperkukuhkan kedudukannya dalam negara dan di mata dunia di bawah kepimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata program LBAS bukan sekadar wadah untuk rakyat Sarawak berkumpul beramai-ramai malah ia adalah simbol kebersamaan, keharmonian dan kasih sayang sesama anak-anak Sarawak.

"Semoga semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan kita orang Sarawak akan terus terpelihara dan bertambah demi Sarawak maju dan makmur," katanya dan menambah kira-kira 6,500 anak Sarawak di Semenanjung berambeh (berkumpul) di majlis makan malam itu.

Sementara itu, Abang Johari yang turut hadir ke majlis itu berkata Kerajaan Sarawak komited untuk terus memainkan peranan dalam membangunkan Malaysia menerusi Kerajaan Perpaduan dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Alhamdulillah negeri kita begitu stabil, politik pun baik dan rakyat berbilang kaum dan agama dapat sama berganding bahu meneruskan usaha membangunkan masyarakat kita dan negeri kita.

... PRU15 tidak ada kestabilan dan akhirnya kita menerima titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan...kita ada wakil dalam Kerajaan Perpaduan dengan kementerian yang ada di situlah kita mainkan peranan bangunkan negara Malaysia," katanya.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib merupakan orang kenamaan utama dalam majlis itu yang turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, beberapa Menteri Persekutuan dan negeri serta Ahli Parlimen Sarawak, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 10:59 PM