FADILLAH tiba di Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya Kuching, selepas balik dari Istana Negara mewakili Pengerusi GPS berjumpa dengan Yang Dipertuan Agong. FOTO Nadim Bohari.
FADILLAH tiba di Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya Kuching, selepas balik dari Istana Negara mewakili Pengerusi GPS berjumpa dengan Yang Dipertuan Agong. FOTO Nadim Bohari.
Mohd Roji Abdullah


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akur dengan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan kerana itu yang dihasratkan oleh Yang diPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi menamatkan kemelut politik yang sedang melanda negara.

Naib Presiden Kanan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dalam pertemuan beliau bersama tiga lagi ahli Parlimen GPS dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini, baginda meminta GPS berbincang dan mempertimbangkan sama ada kerajaan perpaduan boleh ditubuhkan.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong kemudiannya bertanya apa pendirian GPS dan baginda turut menjelaskan kepada mereka, alasan mengapa perlu diwujudkan kerajaan perpaduan.

"Saya tidak dapat membuat apa-apa keputusan (ketika itu) dan kami mendengar saja pandangan Tuanku (berhubung penubuhan kerajaan perpaduan).

"Saya memaklumkan akan membawa pandangan Tuanku itu kepada pucuk pimpinan GPS dan saya sudah memberi taklimat (mengenainya) kepada Premier (Tan Sri Abang Johari Abang Openg)," katanya ketika ditemui di lobi Kompleks Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.

Ketika ditanya gabungan mana yang akan disertai GPS, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, pihaknya kekal dengan pendirian menyokong penubuhan kerajaan bersama beberapa parti.

"Namun kami tetap patuh apa juga keputusan Yang di-Pertuan Agong dan jika baginda mahukan kerajaan perpaduan, kami setuju.

"Esok ada Mesyuarat Majlis Raja-Raja...mungkin mereka (raja-raja Melayu) akan berbincang mengenainya (pembentukan kerajaan perpaduan)," katanya.

Sebelum itu, Fadillah menjelaskan mereka menerima panggilan daripada Istana Negara lewat petang semalam yang meminta wakil GPS menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Selepas berbincang dengan Premier, empat wakil GPS terbang ke ibu negara dan kami menghadap Tuanku dalam jam 11.30 pagi tadi," katanya.

Tiga lagi yang menyertai Fadillah pada pertemuan itu ialah Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang juga Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem, Setiausaha Agung GPS yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang juga Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang.

Sementara itu, Abang Johari yang ditemui enggan memberi komen lanjut mengenai taklimat yang disampaikan Fadillah.

"Sama sik tauk kita tok... sidak agik berunding (sama kita tak tahu, mereka masih berbincang)," katanya sambil bergegas ke kenderaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 6:02 PM