FADILLAH Yusof. FOTO Arkib NSTP.
FADILLAH Yusof. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memutuskan peranan mereka dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi membantu Kerajaan Perpaduan di enam negeri di Semenanjung pada mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi gabungan itu malam ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketika ini hanya menteri GPS yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan akan membantu menjelaskan dasar kerajaan dalam tempoh berkempen.

"Malam ini Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS akan bermesyuarat dan kita lihat apa keputusannya berhubung perkara itu.

"Jika diputuskan GPS akan terbabit secara langsung dalam kempen kita akan lihat apa bentuk bantuan daripada kita dan apa yang diperlukan oleh parti (Kerajaan Perpaduan) yang bertanding," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Anugerah Kebangsaan LiveWIRE Shell di Tegas Digital Village, di sini, hari ini.

Mengenai kenyataan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg bahawa beliau perlu membantu kempen PRN di enam negeri itu atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri, Fadillah berkata, beliau bersedia mengikut arahan Pengerusi GPS itu.

Pada majlis di Sri Aman, 2 Julai lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya amat berharap pemimpin GPS dapat membantu calon parti di bawah Kerajaan Perpaduan menghadapi PRN di enam negeri di Semenanjung.

Ahmad Zahid mahu agenda kestabilan politik di Sarawak menjadi contoh serta diguna pakai oleh jentera GPS pada kempen PRN itu nanti.

PRN di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan akan diadakan pada 12 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 12:16 PM