ABANG Johari pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Kuching. FOTO Nadim Bokhari
ABANG Johari pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Kuching. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pembentukan rang undang-undang (RUU) khusus bagi membolehkan kerajaan mentadbir dan bertahan hingga akhir penggal memerlukan penelitian oleh pakar perundangan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, ini kerana kebebasan untuk memilih kerajaan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru katanya, ia bermakna unsur paksaan tidak boleh digunakan dalam menentukan kerajaan yang memerintah namun kaedah lain perlu diteliti untuk membolehkan kerajaan yang stabil untuk terus memerintah.

"Saya tidak tahu sangat latar belakang (cadangan RUU kekalkan kerajaan) sama ada undang-undang itu boleh dilaksanakan atau tidak, tetapi ia perlu diserahkan kepada pakar perundangan kerana dalam Perlembagaan Persekutuan ada menyebut kebebasan untuk memilih.

"Ini bermakna kita tidak boleh menggunakan paksaan tetapi boleh menggunakan kaedah lain seperti membuat peraturan untuk kita memantau keadaan politik kerana dalam amalan demokrasi rakyat bebas untuk memilih," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta dua Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam agar satu undang-undang khusus perlu digubal bagi membolehkan kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU), mentadbir dan bertahan hingga akhir penggalnya.

Menurut Zahid, jika undang-undang itu diperkenalkan, kerajaan akan dapat memfokus mentadbir negara, sekali gus mengelak sebarang ganggu gugat politik yang tidak berkesudahan.

Mengulas lanjut, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, pihaknya tetap dengan pendirian mahukan politik peringkat nasional stabil.

"Saya tidak boleh komen lebih kerana yang GPS mahu hanyalah kestabilan politik peringkat nasional.

"Kurangkanlah langkah-langkah. Ini ada Langkah Dubailah, Langkah Londonlah. Kita tumpukanlah kepada usaha untuk memulihkan ekonomi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 2:52 PM