FADILLAH. FOTO Arkib NSTP
FADILLAH. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pembubaran Parlimen hari ini bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilaksanakan tahun ini adalah wajar kerana negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat mandat besar dari rakyat untuk berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi dunia akibat krisis Russia-Ukraine yang kian meruncing, selain kesan pasca pandemik Covid-19.

Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketidaktentuan ekonomi tahun depan sukar dielakkan kerana ia banyak dipengaruhi faktor luaran termasuk perang Russia dan Ukraine.

Memburukkan lagi keadaan katanya, keadaan politik negara khususnya di peringkat pusat yang kurang stabil.

"Justeru itu, kita sememangnya perlu mengadakan pilihan raya untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat mandat besar daripada rakyat.

"Hanya dengan kerajaan yang stabil fokus dapat diberikan kepada usaha memastikan kestabilan politik negara terus mengukuh bagi menjamin negara dapat berdepan dengan keadaan ekonomi yang kian mencabar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, dengan pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini, mandat kini sudah dikembalikan kepada rakyat.

"Terpulang kepada rakyat untuk menentukan hala tuju dan masa depan negara, namun jika kita memilih kerajaan yang salah dan tidak berkemampuan untuk menerajui negara, ia akan memberi impak yang besar dan berpanjangan kepada Sarawak dan Malaysia pada amnya.

"Kita boleh lihat sendiri dan rasai pada tahun 2018, apabila kerajaan yang dipilih pada PRU-14 terbukti gagal, sehingga memberi kesan yang negatif kepada setiap rakyat dari pelbagai sudut," katanya.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, kesilapan memilih kerajaan ketika itu memusnahkan harapan Malaysia untuk menjadi negara yang berdaya saing dan kesannya masih boleh dirasai sehingga kini.

"Kita sedia maklum, pada 2018, oleh kerana ingin mencari kelainan dan disebabkan permainan politik, rakyat pada ketika itu memilih Pakatan Harapan (PH) untuk memimpin Kerajaan Persekutuan, namun akhirnya tempoh 22 bulan memerintah menyaksikan PH 'membakulsampahkan' janji-janji ketika berkempen termasuk kepada rakyat Sarawak.

"Jadi, kepada bakal-bakal pengundi, pilihlah yang terbaik untuk rakyat dan negara. Kita telah belajar, kita melihat betapa rakusnya pihak tertentu yang hanya mahukan kuasa tanpa memikirkan tentang masa depan rakyat serta negara.

"Kerajaan GPS di bawah kepimpinan Premier, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, adalah gabungan parti yang mengutamakan Sarawak, memperjuangkan hak Sarawak, mahukan Sarawak berdaya saing, mahukan hak Sarawak terpelihara dan mahukan Sarawak maju seperti negeri-negeri lain di Malaysia, malah mahukan Sarawak lebih maju dan lebih baik," katanya.

Sehubungan itu katanya, GPS sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk berdepan PRU-15 dengan pucuk kepimpinan parti sudah mengerah kesemua jentera parti supaya mengaktifkan segera semua bilik gerakan di 31 kawasan Parlimen di seluruh Sarawak.

"GPS menghormati sepenuhnya keputusan Perdana Menteri yang membubarkan Parlimen hari ini, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 9:58 PM