SHARMILA bersama pembantunya tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan menjahit baju kurung milik pelanggan bagi sambutan Aidilfitri. FOTO Hairul Anuar Rahim.
SHARMILA bersama pembantunya tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan menjahit baju kurung milik pelanggan bagi sambutan Aidilfitri. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Berbaki kurang seminggu saja lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan antara individu paling sibuk waktu ini tentunya tukang jahit yang perlu menyiapkan tempahan pelanggan sebelum 1 Syawal.

Bagi tukang jahit, kepuasan dan keceriaan pelanggan adalah keutamaan apabila baju ditempah siap mengikut kehendak.

Pengusaha sebuah butik di Bangunan Mara, Jalan Raja Laut, di sini, Sharmila Abdullah, 48, berkata dia menerima tempahan membuat sebanyak 500 pasang pakaian raya untuk Aidilfitri pada tahun ini.

"Dua minggu sebelum puasa saya sudah tutup tempahan menjahit baju raya sebab bimbang tak terbuat. Saya mengambil tempahan baju kurung, kebaya, kurung moden dan juga baju Melayu.

"Sebagai pengusaha kedai jahit mesti ada rasa berdebar sekiranya baju tak siap. Apa pun, saya bersyukur sebab setiap tahun ada bonus untuk peniaga seperti kami apabila Ramadan dan kemudian nak sambut raya Aidilfitri kerana tempahan diterima berlipat-kali ganda," katanya.

Menurutnya, bersengkang mata untuk menyiapkan tempahan adalah perkara biasa bagi tukang jahit sepertinya.

Sharmila berkata, setiap tahun untuk tempahan perayaan Aidilfitri, dia pastikan semua baju pelanggan siap mengikut kehendak pelanggan, diserahkan tepat pada masa dan oleh itu sebulan berpuasa Ramadan adalah tempoh bekerja keras.

Selain menyiapkan tempahan dengan bantuan tiga pekerja, beliau berkata butik pakaian diusahakannya juga menjual pakaian siap untuk pilihan pelanggan.

"Untuk bulan puasa, saya turut ambil booth Aidilfitri di lobi Medan Mara Kuala Lumpur untuk jualan pakaian siap," kata ibu yang mempunyai lima cahaya mata itu.

Apa pun, katanya, sebagai tukang jahit walaupun keletihan namun dia seronok kerana Ramadan disifatkan waktu menerima bonus tahunan sebelum raya Aidilfitri kerana tempahan daripada pelanggan untuk baju raya meningkat berkali-kali ganda.

"Dijangkakan Selasa ini dah siap sepenuhnya. Sekarang pun ramai pelanggan sudah ambil pakaian raya yang mereka tempah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 6:15 PM