Rafeah, Chan serta Khairul (kanan) dan Alif.
Rafeah, Chan serta Khairul (kanan) dan Alif.
Ridhatul Rizki


Kuala Lumpur: Tukang jahit sekitar Lembah Klang sudah mula sibuk menerima tempahan baju raya sejak empat bulan lalu, malah ada yang menetapkan tidak lagi menerima tempahan baju raya selepas 30 April ini.

Rafeah Yassin, 49, seorang daripada tukang jahit yang tidak lagi menerima tempahan selepas 30 April ini.

“Saya sudah mula terima tempahan baju raya sejak Januari lalu. Ada pelanggan yang mahu pulang ke kampung lebih awal dan bimbang pakaian mereka tidak siap,” katanya yang mengambil tempahan secara kecil-kecilan di rumahnya yang terletak di Petaling Jaya.

Tambah Rafeah, dia hanya menerima tempahan 100 pasang baju kurung pesak dan moden dan mengenakan caj RM50 sepasang.

Sementara itu, pemilik kedai jahit Wai Man Fashion di Bangsar, Chan Wee Fatt, 65, masih menerima tempahan baju Melayu sehingga minggu pertama Ramadan.

“Sekarang sudah ramai pelanggan yang menghantar kain untuk dijahit. Bagaimanapun saya hanya menerima tempahan baju Melayu kerana saya kekurangan tenaga kerja yang mahir menjahit pakaian wanita,” katanya.

Chan yang sudah 40 tahun menjalankan perniagaan kedai jahit hanya menerima tempahan baju Melayu sebanyak 200 pasang.

“Bagi sepasang baju Melayu dengan kain sendiri, saya mengambil upah jahitan sebanyak RM160. Tetapi jika sekali dengan kain daripada saya, harga boleh mencecah RM220 hingga RM280 sepasang mengikut kualiti kain,” katanya.

Bagi pengasas butik Dokoh, Khairul Amri Hassan, 29, dia tidak menerima tempahan baju raya, sebaliknya hanya menjual baju yang siap dijahit.

“Untuk koleksi raya tahun ini, kami menjual baju yang siap dijahit. Ada beberapa rekaan terbaru seperti Kurta Adlan, Jubah Khadija dan Kaftan Fleur,” katanya.

Tambah Khairul, butiknya hanya mengeluarkan kira-kira 50 helai bagi setiap rekaan.

“Kami keluarkan 50 helai kerana ingin menjaga nilai eksklusif setiap rekaan. Semua rekaan terbabit ada perincian tersendiri. Jika dihasilkan terlalu banyak, nanti sudah tidak eksklusif,” katanya yang sudah tiga tahun menjalankan perniagaan terbabit bersama rakan niaga, Alif Abu Bakar, 29.

Kata Khairul, koleksi Hari Raya Dokoh direka sejak tahun lalu dan ia sudah boleh didapati secara atas talian pada harga bermula RM79.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 10:46 PM