HAYATI memeriksa baju kurung yang  siap dijahit  di KedaI Jahit Asnuri, Kampung Likas.
HAYATI memeriksa baju kurung yang siap dijahit di KedaI Jahit Asnuri, Kampung Likas.
Norasikin Daineh


KOTA KINABALU: Upah menjahit serendah RM40 sepasang pakaian yang masih mengikut harga kampung antara faktor Kedai Jahit Asnuri sering menjadi pilihan orang ramai terutama menjelang Aidilfitri.

Menurut pemiliknya, Hayati Alli, 35, nilai upah yang rendah bagi sepasang baju kurung biasa menyebabkan tahun ini kedainya menerima lebih banyak tempahan iaitu mencecah hingga 600 pakaian untuk disiapkan sebelum Aidilfitri.

“Tahun ini tempahan menyiapkan pakaian semakin bertambah iaitu 500 baju kurung pelbagai fesyen dan lebih 100 baju melayu perlu disiapkan.

“Harga upah serendah RM40 untuk baju kurung biasa adalah harga paling murah diberikan kepada pelanggan kerana kebanyakan mereka menetapkan harga ini disebabkan kedai jahit kami beroperasi di kawasan kampung dan harganya dikatakan perlu ikut harga di kampung,” katanya di premisnya di Kampung Likas di sini.

Hayati berkata, walaupun harga itu tidak sesuai disebabkan faktor harga barang tidak sama seperti dulu namun demi menjaga hati pelanggan, dia tetap memenuhi permintaan mereka.

“Bagi pelanggan, mindset mereka kedai yang beroperasi di kawasan kampung perlu ikut harga kampung. Jadi untuk menjaga hati pelanggan, kami ikutkan saja dan kebanyakannya mereka pelanggan tetap kami.

“Bagaimanapun, untuk pakaian moden, harga ditentukan mengikut reka bentuk atau jenis fesyen diminta selain caj tambahan dikenakan kepada pelanggan yang menghantar pakaian di saat akhir sebelum menjelang Aidilfitri,” katanya.

Menurutnya, menjelang hari raya, dia dan pekerjanya bertungkus-lumus menyiapkan tempahan baju raya pelanggan hingga beroperasi lewat malam.

“Antara cabaran yang kami lalui termasuk bekerja lebih masa iaitu bekerja hingga lewat malam untuk menyiapkan tempahan pakaian pelanggan.

“Secara purata sehari kami dapat menyiapkan 30 hingga 50 pasang pakaian dan tempahan pakaian ditutup dua minggu terakhir sebelum hari raya kerana ketika itu, kami sibuk menyiapkan pakaian pelanggan yang belum siap,” katanya.

Terdahulu, Hayati berkata, kedai jahit itu adalah perniagaan keluarga yang diusahakan ibunya sejak 1995 dan kini berkembang hingga membuka tiga cawangan lain iaitu di Inanam dan Putatan.

“Dengan tenaga kerja lebih 30 orang, saya yakin kami dapat menyiapkan semua tempahan pakaian termasuk di cawangan lain yang diuruskan oleh ibu di Inanam dan adik lelaki di Putatan,” katanya.

Sementara itu, Chrismawati Asintu, 35, yang bekerja di kedai jahit itu sejak enam tahun lalu mengakui dua bulan sebelum Ramadan mereka sudah mulai sibuk kerana menyiapkan pakaian pelanggan.

“Masuk saja bulan Ramadan, kami mula bekerja seawal jam 8 pagi sehingga jam 9 malam kerana pelu menyiapkan pakaian pelanggan sebelum menjelang Hari Raya.

“Setiap hari saya boleh menyiapkan sehingga lima pasang pakaian dan walaupun dalam keadaan berpuasa, ia bukan penghalang untuk mereka menyiapkan semua tempahan pakaian pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 7:30 AM