SUHAIDA menyiapkan lebih 300 baju kurung moden dan baju Melayu untuk pelanggan. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
SUHAIDA menyiapkan lebih 300 baju kurung moden dan baju Melayu untuk pelanggan. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


ARAHAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang orang ramai membuat tempahan baju raya seperti biasa.

Seorang tukang jahit dari Kampung Pak Katak, Kuala Nerus, menerima tempahan lebih 300 pasang baju raya sepanjang PKP.

Suhaida Mohd Saidi, 37, berkata, dia bersyukur kerana tempahan baju raya seperti baju kurung moden dan baju Melayu meningkat berbanding tahun lalu.

"Pelanggan tetap dan baru membuat tempahan seawal Januari hingga April lalu dan sekarang semuanya sudah disiapkan.

"Saya hanya menunggu pelanggan untuk mengambilnya, ada juga yang sudah dipos kepada pelanggan kerana mereka tidak boleh pulang beraya di kampung," katanya ditemui di rumahnya.

Tambahnya, dia mengambil peluang ketika PKP untuk menyiapkan semua tempahan bagi memastikan pelanggan dapat menggayakan baju raya masing-masing pada pagi raya.

"Ketika ini, banyak kedai kain sudah mula beroperasi susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Oleh itu, dalam tempoh ini, sebelum menjelang Aidilfitri, masih ada yang datang menghantar kain untuk dijahit," katanya.

Menurutnya, jika diikutkan, dia sudah tidak menerima tempahan tetapi memandangkan semua tempahan sedia ada sudah siap dan masih banyak kedai pakaian siap masih tidak beroperasi, dia menerima tempahan berkenaan.

"Saya tidak sampai hati menolak tempahan mereka memandangkan sekarang sukar untuk mendapatkan baju kurung siap di kedai untuk dipakai pada Aidilfitri," katanya yang mula menjahit pakaian raya sejak berusia 20 tahun.

Menurutnya, dia juga mengambil upah menjahit baju raya bayi dan kanak-kanak selain turut menjahit pelitup muka untuk petugas barisan hadapan.

"Pada awal PKP berkuatkuasa, saya menyiapkan 1,200 pelitup muka untuk kegunaan orang ramai dan petugas barisan hadapan.

"Ada juga tawaran menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) namun terpaksa ditolak kerana saya bimbang tidak sempat menyiapkan tempahan sedia ada," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 2:25 PM