Umi kalsom gigih menyiapkan tempahan busana aidilfitri sepanjang bulan Ramadan dan Jue (gambar kiri) menyiapkan 'alteration' baju kurung yang baru diterima.
Umi kalsom gigih menyiapkan tempahan busana aidilfitri sepanjang bulan Ramadan dan Jue (gambar kiri) menyiapkan 'alteration' baju kurung yang baru diterima.
Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: Seperti kebiasaannya tukang jahit menjadi orang paling sibuk menjelang Hari Raya Aidilfitri kerana perlu menyiapkan tempahan pelanggan mengikut masa yang dijanjikan.

Malah ketika ini tidak mustahil ramai tukang jahit tidak cukup tidur memandangkan banyak baju raya pelanggan perlu disiapkan.

Tinjauan di sekitar Seksyen 7, Shah Alam mendapati kebanyakan kedai menjadi pakaian tidak menang tangan menyiapkan baju raya selepas menutup tempahan beberapa minggu sebelum Ramadan.

Tukang jahit dikenali sebagai Puteri Balqis, 20, berkata dia dan ibunya mula menerima tempahan selepas raya tahun lalu dan tutup seminggu sebelum puasa.

"Ada juga ramai pelanggan yang masih mahu menghantar tempahan baju tetapi kami tidak berani menerimanya disebabkan banyak lagi baju yang tidak siap.

"Ramai pelanggan memilih untuk mengubah baju (alteration) memandangkan kos lebih rendah daripada jahit baju baru," katanya.

Kata Puteri, tahun ini kedai jahitnya banyak menerima baju dengan berwarna lembut seperti 'champagne' dan 'sage green' dari pelanggan.

Seorang lagi tukang jahit dikenali Umi Kalsom, 30, berkata walaupun upah menjahit baju raya tahun ini naik, pelanggan tidak ada masalah asalkan tempahan siap mengikut fesyen yang dimahukan.

"Upah menjahit baju kurung biasanya RM80 untuk sepasang, tapi tahun ini kepada RM85.

"Harga upah untuk baju Melayu dewasa pun naik, manakala baju untuk kanak-kanak pula bergantung kepada saiz," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 3:22 PM