ALIRAN trafik bergerak perlahan dari Pantai Timur menghala ke Kuala Lumpur ketika tinjauan di Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. FOTO Hairul Anuar Rahim
ALIRAN trafik bergerak perlahan dari Pantai Timur menghala ke Kuala Lumpur ketika tinjauan di Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. FOTO Hairul Anuar Rahim
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jumlah kenderaan berada di lebuh raya seluruh negara, hari ini, dijangka meningkat antara 4.4 juta hingga 4.5 juta kenderaan susulan cuti perayaan Tahun Baru Cina yang akan berakhir.

Sumber Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan jumlah itu meningkat daripada 4.3 juta kenderaan yang direkodkan di semua lebuh raya di seluruh negara, semalam.

"Tiga lebuh raya yang mencatatkan kesesakan adalah di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Lebuhraya Karak.

"Bagi Lebuhraya Utara-Selatan, kesesakan lazimnya direkodkan di Pedas Linggi dan beberapa kawasan lain, manakala di Lebuhraya Karak pula sesak di Genting Sempah ke Gombak serta laluan menghala ke Plaza Tol Karak di LPT," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tinjauan menerusi akaun rasmi Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga 3 petang tadi mendapati trafik perlahan di beberapa laluan di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Karak.

Di Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke selatan, trafik perlahan di Sungai Petani Utara ke Sungai Petani Selatan, Changkat Jering ke Kuala Kangsar, Terowong Menora ke Ipoh Utara, Ipoh Selatan ke Simpang Pulai, Tapah ke Bidor, Sungkai ke Slim River dan Bukit Beruntung ke Rawang.

Di lebuh raya sama menghala ke utara pula, trafik perlahan di Kulai ke Sedenak, Sedenak ke Simpang Renggam, Yong Peng ke Tangkak, Ayer Keroh ke Simpang Ampat, Senawang ke Port Dickson, Southville City ke Bangi dan Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar.

Sementara itu, trafik juga perlahan di Lebuhraya Karak membabitkan laluan dari Plaza Tol Karak ke Bukit Tinggi.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di https://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di https://mobile.twitter.com/llmtrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 4:03 PM