KEADAAN trafik di Lebuhraya Karak ke Kuala Lumpur bergerak perlahan sebelum terowong Genting Sempah. FOTO Aswadi Alias
KEADAAN trafik di Lebuhraya Karak ke Kuala Lumpur bergerak perlahan sebelum terowong Genting Sempah. FOTO Aswadi Alias
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Aliran trafik menghala ke ibu dilaporkan perlahan dan sesak di beberapa laluan di lebuh raya utama berikutan pertambahan jumlah kenderaan, hari ini.

Ia susulan orang ramai mula kembali ke ibu kota selepas bercuti di kampung halaman masing-masing sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tinjauan menerusi akaun rasmi aplikasi X Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga jam 4 petang tadi mendapati trafik di beberapa laluan di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) perlahan, manakala trafik Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak serta LPT1 pula sesak.

Di Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, trafik dilaporkan perlahan dari Laybay Hutan Kampung ke Plaza Tol Hutan Kampung; Sungai Petani (Selatan) ke Bertam; Permatang Pauh ke Perai; Bukit Tambun ke Bandar Baharu dan Alor Pongsu ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol dengan cuaca hujan dilaporkan sekitar Utara Perak.

Trafik juga perlahan dari Taiping Utara ke Changkat Jering; Simpang Pulai ke Tapah; R&R Tapah ke Bidor dan Behrang ke Sungai Buaya.

Di arah Selatan lebuh raya sama, trafik perlahan dari Pagoh ke R&R Pagoh; Yong Peng ke Ayer Hitam dan Layby Simpang Renggam ke Sedenak.

Di arah Utara lebuh raya sama, trafik perlahan juga dilaporkan dari Pagoh ke Tangkak; Layby Tangkak ke Layby Bemban; R&R Ayer Keroh ke Layby Pedas Linggi; Pedas Linggi ke Port Dickson (Utara) dan Seremban ke Bandar Ainsdale dengan cuaca hujan dilaporkan sekitar Johor dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, di LPT1 sehingga ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, trafik sesak dilaporkan dari Lanchang di Kilometer (KM) 101 ke Karak dan Karak ke Bentong, manakala trafik dari Bentong ke Lentang pula dilaporkan perlahan.

Di LPT2 pula, trafik dilaporkan perlahan dari R&R Paka ke Paka; Paka ke Kerteh; Kijal ke Chukai dan Cheneh ke Perasing.

Terdapat kemalangan dilaporkan di KM 111.1 arah Selatan dari Sungai Petani (Selatan) ke Bertam dengan tiada lorong terhalang dan keadaan trafik terkawal.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMtrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 4:25 PM