Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menggunapakai modul penugasan Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF).

Ini susulan pembubaran secara rasmi NTF berkuat kuasa Sabtu ini, selepas ditubuhkan pada 6 Mei 2020.

Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ATM dan PDRM akan bekerjasama dengan MKN bagi memastikan modul tugas penguatkuasaan pasca Operasi Benteng (Op Benteng) boleh diguna pakai.

"Ini selepas kita melihat keberhasilannya apabila kita nilai rampasan sepanjang penugasan Op Benteng mencatatkan jumlah RM1.1 bilion dan tangkapan seramai 7,490 individu terdiri daripada tekong, pendatang asing tanpa izin (Pati) dan penyeludup.

"Kita juga akan memperbaiki apa jua mekanisme yang dirasakan perlu diubah dalam gabungan kerjasama antara PDRM dan ATM pada masa akan datang," katanya pada sidang media selepas Majlis Penghargaan Perkhidmatan Operasi Benteng 2020-2022 sempena pembubaran NTF di Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Affendi berkata, kertas biru (blueprint) penugasan NTF akan diwujudkan sebagai panduan apabila situasi sama dihadapi masa akan datang selain petunjuk kepada generasi akan datang.

"Malah segala pengalaman yang dihadapi oleh NTF juga turut akan direkodkan dalam blueprint ini sebagai rujukan.

"Paling penting, fokus terhadap keselamatan negara perlu diteruskan demi keamanan dan kemakmuran negara kita," katanya.

Katanya, selepas pembubaran NTF, kawalan sempadan akan dijalankan oleh agensi penguat kuasa masing-masing.

AFFENDI  menyematkan lencana NTF kepada Komander NTF, Laksamana Madya Datuk Roslan Mohd Yunus sambil diperhatikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO Hairul Anuar Rahim.
AFFENDI menyematkan lencana NTF kepada Komander NTF, Laksamana Madya Datuk Roslan Mohd Yunus sambil diperhatikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO Hairul Anuar Rahim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 6:16 PM