AFFENDI pada sidang media sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-88 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
AFFENDI pada sidang media sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-88 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Kejayaan mengawal sempadan negara menerusi Operasi Benteng dilakukan secara bersepadu diharapkan akan berterusan selepas pandemik Covid-19 berakhir."

Itu harapan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang mengenai Operasi Benteng diaktifkan di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF), sejak Mei tahun lalu.

Beliau berkata, operasi diterajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terbukti efektif mengawal sempadan negara.

"Harap habis pandemik pun, kolaborasi dapat diteruskan untuk pertahanan sempadan dapat ditentukan lebih keberkesanannya.

"Sempadan kita panjang. Apabila pelbagai agensi menggerakkan aset bersama dengan koordinasi teratur dapat memperkasakan lagi penjagaan sempadan maritim dan darat," katanya pada wawancara khas media sempena Hari Angkatan Tentera Ke-88 di Wisma Perwira, di sini, hari ini.

Sementara itu, Affendi berkata, seramai 15,782 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditangkap manakala 2,2248 diusir menerusi Operasi Benteng diaktifkan di bawah NTF sejak Mei tahun lalu hingga kelmarin.

Beliau berkata 1,149 tekong dan 788 penyeludup turut ditangkap, manakala 2,402 kenderaan darat dan 540 kapal serta bot dirampas dalam operasi dan tempoh sama.

"Operasi Benteng melalui koordinasi NTF apabila ATM sebagai agensi peneraju. Alhamdulillah, setelah setahun lebih penubuhannya, ATM bersama agensi berkaitan mencapai objektif dipertanggungjawab dengan jayanya.

"NTF bukan sahaja berjaya menyelaraskan operasi kemasukan Pati, tetapi pada masa sama menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan.

"Pendekatan 'whole of government' (bersepadu agensi kerajaan) terbukti mendatangkan keberkesanan berbanding bekerja secara 'silo' (tanpa bantuan agensi keselamatan lain) yang dibuat sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 9:30 PM