TAN Sri Affendi Buang. FOTO Bernama
TAN Sri Affendi Buang. FOTO Bernama
BERNAMA

SEJUMLAH 49 lorong tikus baharu yang menjadi laluan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) dikenal pasti di Sarawak.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pekan Biawak adalah antara kawasan di negeri itu mempunyai banyak lorong 'panas' yang perlu dikawal ketat bagi mengekang kemasukan Pati serta aktiviti jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan pandemik Covid-19.

"Op Benteng membabitkan kerjasama bersepadu antara semua agensi penguatkuasaan dan keselamatan dalam memutuskan rangkaian kemasukan PATI sama ada di darat atau perairan.

"Op ini akan diteruskan lagi supaya lorong-lorong tikus dapat ditutup dan dipantau ketat. Kawalan juga dipertingkatkan di lokasi-lokasi tumpuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Pos Gabungan Bersama ATM dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Kem Jawatankuasa Perancangan Gerakan (JPG) Biawak dan penyampaian bungkusan Aidilfitri dan Gawai di Lundu, hari ini.

Affendi berkata, ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain akan terus komited melaksanakan Op Benteng melalui koordinasi bersepadu bagi memastikan persempadanan negara, baik darat mahupun perairan tidak dicerobohi.

Op Benteng diaktifkan sejak Mei lalu di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan kerjasama ATM, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Sejak NTF diaktifkan di Sarawak, seramai 962 Pati dan 160 tekong ditahan kerana cuba memasuki sempadan Malaysia secara haram, manakala 33 individu ditahan kerana disyaki melakukan penyeludupan barangan yang membabitkan nilai rampasan berjumlah RM1.57 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 8:45 PM