KERETA perisai Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat rondaan menjaga pagar sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar. FOTO BERNAMA
KERETA perisai Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat rondaan menjaga pagar sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menambah bilangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan aset untuk tujuan penugasan di sempadan negara bagi memperkasa kawalan keselamatan di kawasan berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa sama pihaknya akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mempertingkatkan aspek kesiagaan operasi di kawasan itu.

"Saya minta Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang mengetuai Pasukan Petugas Nasional (NTF) untuk menggabungkan pihak berkuasa beruniform supaya mereka bersama-sama menjalankan tugas seperti dilaksanakan dalam Op Benteng, dan tiada lagi secara persendirian bagi pemantauan dan kawalan di sempadan negara.

"Sebelum ini, mereka melakukan penugasan secara bersendirian. PDRM jaga sebahagian kawasan dan begitu juga ATM. Sekarang kita hendak bersama-sama," katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis penyerahan cek sumbangan kempen Tabung Pahlawan 2020 dan Tabung Zakat Yayasan Veteran ATM (YVATM) di Wisma Pertahanan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada insiden tembakan di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis, awal pagi Selasa, yang mengakibatkan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) terkorban manakala seorang lagi cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup.

Mendiang Sarjan Baharuddin Ramli, 54, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya Sarjan Norihan Tari, 39, yang sebelum ini dirawat di Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar, kini dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan lanjut.

Petang semalam pula, seorang anggota PGA cedera ringan selepas terkena tembakan ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) bagaimanapun berkata cadangan kerjasama itu perlu dibincangkan dalam mesyuarat NTF kerana perkara itu membabitkan dua jabatan berbeza.

Beliau berkata dari segi kesepakatan, ia bukan sahaja antara ATM dan PDRM, malah turut melmbabitkan pihak berkuasa beruniform yang lain.

Sementara itu, Affendi berkata kawalan perlu dipertingkatkan lagi di sepanjang sempadan negara kerana sindiket penyeludupan juga sudah mengenal pasti kawasan operasi.

"Mereka sudah 'cop' (kenal pasti) tempat yang boleh atau tidak boleh masuk dan ini menyebabkan mereka masuk dengan cara yang 'desperate' (terdesak)," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menerima cek sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat berjumlah lebih RM2 juta untuk Tabung Pahlawan 2020 dan YVATM.

Beliau berkata setakat ini, RM3.4 juta sumbangan dikumpul bagi Tabung Pahlawan dan belum mencapai sasaran kutipan sebanyak RM10 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 7:19 PM