Datuk Seri Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak percaya syarikat pelaburan Blackstone Asia Real Estate Partners Ltd yang menerima jutaan dana milik 1Malaysia Development Sdn Bhd (1MDB) dimiliki dan dikawal Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saudi.

Mendedahkan perkara itu, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin bersetuju dengan cadangan peguam Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin bekas Presiden Umno itu percaya Blackstone dimiliki Raja Abdullah ketika disiasat agensi itu di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 pada 2018.

Blackstone ialah sebuah syarikat yang dikatakan dikawal ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low melalui rakan sekutunya Tan Kim Loong atau Eric Tan.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian ketika disoal Wan Azwan Aiman ​​berhubung transaksi yang berlaku antara Blackstone dan akaun peribadi Najib.

Nur Aida berkata demikian ketika memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan sebelum ini mendengar keterangan pakar pemulihan aset luar pesisir, Angela Barkhouse yang memberitahu mahkamah, bahawa Najib menerima wang AS$120 juta dalam akaun bank peribadinya daripada Blackstone Asia.

Barkhouse berkata, dana yang diterima itu membabitkan transaksi AS$70 juta pada 29 Disember 2011, dan masing-masing AS$25 juta pada 12 Mac 2012 dan 22 Mei 2012.

Saksi itu berkata, asas keterangan beliau itu adalah berdasarkan kepada aliran dana di mana ia melalui pinjaman dibuat oleh syarikat pelaburan, SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang (Diperbadankan) (KWAP).

Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan, pula sebelum ini memberitahu mahkamah, akaun peribadi Najib menerima kemasukan AS$30 juta (RM90.9 juta) daripada Blackstone di antara 30 Oktober dan 19 November 2012.

Katanya, ia dikreditkan ke akaun Najib daripada akaun Standard Charterd Bank, Singapura atas nama Blackstone dan boleh dikesan daripada bon yang dikeluarkan 1MDB Energy (Langat) Ltd (1MELL) pada tahun 2012.

Terdahulu, buat pertama kalinya prosiding perbicaraan berlangsung di Mahkamah Tinggi di sini pada hari Sabtu.

Ini adalah perbicaraan kali pertama dibuat pada hujung minggu yang bermula jam 8.30 pagi.

Najib yang memakai kot biru tiba di mahkamah diiringi pegawai dari penjara.

Untuk rekod, tarikh-tarikh hari Sabtu yang ditetapkan ialah 27 April, 4 dan 25 Mei serta 1, 8 dan 15 Jun sebagai tarikh tambahan untuk mendengar kes terbabit.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 30 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 2:38 PM