Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Pasukan khas, National Task Force (NTF) mencipta pelbagai kejayaan sepanjang Op Benteng dilaksana, antaranya termasuk rampasan rokok dan minuman keras bernilai RM428,962,528.

Selain itu, NTF yang diterajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut melakukan tangkapan membabitkan 7,442 individu terdiri daripada tekong, Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) dan penyeludup.

Malah sejak penubuhannya pada 6 Mei 2020 sehingga 26 Disember lalu, NTF juga merampas dadah bernilai RM245,292,351, sama ada yang cuba diseludup masuk atau keluar dari negara ini untuk dihantar ke negara ketiga.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, NTF turut merampas barang dan cecair berasaskan ketum bernilai RM26,139,935 serta lain-lain rampasan seperti bot dan kenderaan yang digunakan tekong dan penyeludup berjumlah lebih RM398 juta.

Katanya, kesemuanya menyumbang kepada nilai rampasan sebanyak RM1.1 bilion.

Beliau menyifatkan, kejayaan itu adalah hasil kebijaksanaan barisan kepimpinan serta komitmen tinggi oleh segenap lapisan warga 18 agensi yang menganggotai NTF.

"Sejujurnya ia bukanlah sesuatu tugas mudah kerana setiap agensi mempunyai keutamaan strategik tersendiri, selain amalan tugas yang berbeza-beza termasuklah kekangan sumber manusia serta peralatan bersesuaian untuk ditugaskan di lapangan.

"Namun kejayaan penyatuan semua 18 agensi dalam NTF memperlihatkan kepada rakyat bahawa NTF serius terhadap mengekang elemen pencerobohan kemasukan PATI dan penyeludupan ke dalam negara semasa pandemik Covid-19 melanda negara," katanya sempena Pembubaran NTF di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua-Ketua Pengarah Agensi Keselamatan dan Penguatkuasaan yang terbabit dalam NTF.

Affendi berkata, konsistensi dalam aktiviti pengusiran, tangkapan dan rampasan melalui Op Benteng telah memberi impak positif sehingga mewujudkan kepercayaan tidak berbelah bahagi oleh rakyat yang sukarela menjadi mata dan telinga pasukan.

"Apa yang boleh saya katakan di sini adalah arahan untuk mewujudkan NTF merupakan satu tindakan yang tepat oleh kerajaan dalam memperkasakan kawalan sempadan darat dan maritim negara," katanya.

Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang berucap ketika Majlis Penghargaan Perkhidmatan Operasi Benteng 2020-2022 sempena pembubaran National Task Force (NTF) di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang berucap ketika Majlis Penghargaan Perkhidmatan Operasi Benteng 2020-2022 sempena pembubaran National Task Force (NTF) di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 7:13 PM