Tangkap layar memaparkan tiga lelaki tidak dikenali membaling objek mengandungi cat merah di hadapan bangunan sebuah restoran nasi kandar yang ketika itu masih belum beroperasi di Taman Machang Bubok, Bukit Mertajam. FOTO Tular
Tangkap layar memaparkan tiga lelaki tidak dikenali membaling objek mengandungi cat merah di hadapan bangunan sebuah restoran nasi kandar yang ketika itu masih belum beroperasi di Taman Machang Bubok, Bukit Mertajam. FOTO Tular
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Polis sedang mengesan tiga lelaki yang dipercayai bertindak membaling beberapa objek mengandungi cat merah di hadapan restoran nasi kandar yang belum beroperasi di Taman Machang Bubok, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menyedari hantaran tular itu jam 9.30 pagi semalam yang memaparkan kejadian khianat dilakukan beberapa individu.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati lokasi kejadian adalah premis kedai dua tingkat yang mana restoran itu dikatakan akan memulakan perniagaannya, hari ini.

"Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian berlaku pada Khamis, jam 3.03 pagi.

"Ketika itu, terdapat tiga suspek yang tidak dikenali menunggang dua motosikal bertindak menyimbah cat merah ke premis makanan itu sebelum melarikan diri.

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan suspek dijalankan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Helmi berkata, pihaknya memohon orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil membantu siasatan.

"Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di talian 04-5382222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi satu minit memaparkan tiga lelaki yang menunggang dua motosikal berhenti di hadapan sebuah restoran nasi kandar yang masih belum dibuka kepada orang ramai.

Ketiga-tiga lelaki yang memakai topi keledar kemudian didapati membaling beberapa objek mengandungi cat merah hingga terkena papan tanda dan pintu hadapan restoran sebelum melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 2:33 PM