Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Selepas dua tahun ditubuhkan, penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang dianggotai 18 agensi keselamatan, akan dibubarkan secara rasmi pada 31 Disember ini selepas mengambil kira situasi pandemik Covid-19 negara dan dunia yang semakin terkawal.

Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, NTF yang ditubuhkan pada 6 Mei 2020 melaksanakan Op Benteng bagi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke dalam negara dan mengekang penyebaran Covid-19 seperti diarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kejayaan penyatuan semua 18 agensi ini bukan hanya dikecapi oleh NTF, malah memperlihatkan kepada rakyat bahawa NTF serius terhadap mengekang pencerobohan kemasukan Pati ke dalam negara.

"Konsistensi di dalam setiap aktiviti pengusiran, tangkapan dan rampasan melalui Op Benteng memberi impak positif sehingga dapat mewujudkan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi oleh rakyat.

"Penghormatan ini sekali gus mengundang rakyat untuk bersama-sama secara sukarela, menjadi mata dan telinga di dalam setiap kejayaan Op Benteng secara keseluruhannya," katanya dalam ucapan pada Majlis Pembubaran NTF, di sini hari ini.

AFFENDI (lima dari kiri) bersama Roslan (empat dari kiri) dan Acryl Sani (lima dari kanan) bergambar kenangan ketika Majlis Penghargaan Perkhidmatan Operasi Benteng 2020-2022 sempena pembubaran National Task Force (NTF). FOTO Hairul Anuar Rahim.
AFFENDI (lima dari kiri) bersama Roslan (empat dari kiri) dan Acryl Sani (lima dari kanan) bergambar kenangan ketika Majlis Penghargaan Perkhidmatan Operasi Benteng 2020-2022 sempena pembubaran National Task Force (NTF). FOTO Hairul Anuar Rahim.

Hadir sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Komander National Task Force (NTF) Laksamana Madya Datuk Roslan Mohamad.

Affendi berkata, agenda pemerkasaan kawalan sempadan negara akan diteruskan melalui mekanisma sedia ada di bawah kerangka Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Saya percaya kita semua sehati dalam meyakinkan pihak yang bertanggungjawab untuk mengguna-pakai model NTF disamping mengambil semangat yang dibawanya, dalam meneruskan agenda pemerkasaan kawalan keselamatan sempadan negara.

"Ini kerana ia sudah diuji dan dicuba untuk satu tempoh yang lama serta sering dikemaskini dari masa ke masa bagi memastikan ianya kekal relevan serta dapat memberikan impak yang efektif dan efisyen," katanya.

NTF ditubuhkan pada 6 Mei 2020 adalah gabungan 18 agensi penguat kuasa dan keselamatan kerajaan yang bertanggungjawab mengekang penyebaran wabak Covid-19, seperti yang diarahkan boleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 29 April 2020 melalui Op Benteng.

Op Benteng melalui kuasa Akta 342 iaitu Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, telah digerakkan oleh NTF bagi membanteras kemasukan Pati ke dalam negara serta mengekang penyebaran wabak Covid-19.

GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 4:56 PM