Asrol Awang

Kuantan: Seramai 16,612 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah bersedia bagi tahap kesiapsiagaan menghadapi banjir di 5,496 lokasi hotspot banjir di seluruh negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, atur gerak pegawai dan anggota serta aset itu dilaksanakan apabila diarahkan pada bila-bila masa.

Daripada jumlah itu, katanya, kira-kira 146 pegawai dan 4,155 anggota lain-lain pangkat (LLP) akan bertindak sebagai pasukan responder pertama.

"Pasukan ini akan melaksanakan kerja menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) secepat mungkin.

"Bagi jumlah aset, ia membabitkan 1,102 trak satu hingga tujuh tan, 251 unit bot, 295 unit enjin bot dan 5,573 jaket keselamatan akan terbabit bagi membantu operasi menyelamat mangsa banjir," katanya.

Hishammuddin berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Aset Banjir Kementerian Pertahanan di Pangkalan Udara Kuantan, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sebagai persiapan dan kesiapsiagaan ATM menerusi Operasi Murni (OP MURNI) kali ini, beliau berkata, misi bantuan dilaksanakan ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan.

HISHAMMUDDIN (kanan sekali) dan Wan Rosdy melihat aset yang akan digunakan ketika banjir di Pangkalan Udara Kuantan, Kuantan. FOTO Asrol Awang
HISHAMMUDDIN (kanan sekali) dan Wan Rosdy melihat aset yang akan digunakan ketika banjir di Pangkalan Udara Kuantan, Kuantan. FOTO Asrol Awang

Selain itu, katanya, pasukan perubatan ATM akan diletakkan dalam keadaan sedia bagi melaksanakan bantuan perubatan di PPS.

"Pada masa sama, merancang koordinasi bantuan pesawat udara ATM, memastikan hospital dan pusat perubatan ATM sentiasa dalam keadaan siap siaga, termasuk Hospital Medan.

"ATM turut melaksanakan operasi menghantar barang keperluan ke PPS serta kawasan yang terputus hubungan jalan darat serta memasak di PPS," katanya.

Hishammuddin berkata, kementerian itu turut mengikuti secara rapat serta memandang serius laporan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung kemungkinan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November depan.

Katanya, hujan lebat itu seterusnya berisiko membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

"Sejak September lalu, saya sudah mengarahkan Panglima Angkatan Tentera dan Panglima-Panglima Perkhidmatan untuk memastikan kesiapsiagaan anggota ATM terutama di negeri berisiko terjejas berada pada tahap tertinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 7:12 PM