Helikopter milik TUDM melaksanakan penerbangan MEDEVAC dengan pesawat EC 725 AP dari No 10 Skuadron, Pangkalan Udara (PU) Kuantan, hari ini.
Helikopter milik TUDM melaksanakan penerbangan MEDEVAC dengan pesawat EC 725 AP dari No 10 Skuadron, Pangkalan Udara (PU) Kuantan, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pesawat Helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), hari ini melaksanakan penerbangan MEDEVAC membawa seorang lelaki warga emas yang menghidap sakit jantung dan seorang bayi lelaki.

Pesakit, Wan Ahmad Mohd Noor berusia 75 tahun dan seorang bayi lelaki diterbangkan dari Pangkalan Udara Gong Kedak ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu dengan pesawat EC 725 AP dari No 10 Skuadron, Pangkalan Udara (PU) Kuantan.

TUDM dalam kenyataan dimuat naik di Facebook hari ini, memaklumkan pesawat berlepas jam 2.03 petang dari PU Gong Kedak dan selamat mendarat jam 2.27 petang.

"Keadaan cuaca di kawasan Pantai Timur yang mengalami musim hujan dan beberapa jalan dinaiki air di kawasan sekitar menyebabkan bantuan penghantaran udara diperlukan bagi membawa pesakit.

"Penerbangan ini dikendalikan oleh Mejar Wan Muhammad Haqimi Wan Zin TUDM selaku juruterbang, pembantu juruterbang; Kapten Mohd Zafri Zaini TUDM dan Kuartermaster Udara Sarjan Udara Ammar Ahmad Hasan Shamsuri," katanya.

Katanya, TUDM sangat komited dan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam membantu sekiranya diperlukan bagi memenuhi tanggungjawab sosial yang juga tugas sekunder khususnya membabitkan keselamatan nyawa dan keperluan rawatan segera.

Selain itu, pasukan 18 Rejimen Askar Melayu Diraja 18 (RAMD) turut mengaturgerak 14 anggota termasuk seorang pegawai bagi membantu membawa 60 mangsa banjir di Batu 24, Kuala Berang, Hulu Terengganu ke Hospital Kuala Berang menerusi Op Murni.

Bantuan yang diberikan kepada semua mangsa banjir yang memerlukan rawatan perubatan terbabit dilaksanakan sekitar jam 9 pagi hingga 6 petang.

Dalam perkembangan berasingan, Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Briged Ke-11 Infantri Malaysia (11 Bgd) mengaturgerak 23 pegawai dan 307 anggota lain-lain pangkat (LLP) bagi membantu operasi mencari menyelamat (Op SAR) mangsa insiden tanah runtuh di Batang Kali, Jumaat lalu.

PANGLIMA 4 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Ya'cob Samiran dan Panglima 11 Briged Fazal Abdul Rahman turut berada di lokasi kejadian bagi memantau gerak kerja Op SAR insiden tanah runtuh di Batang Kali, hari ini.
PANGLIMA 4 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Ya'cob Samiran dan Panglima 11 Briged Fazal Abdul Rahman turut berada di lokasi kejadian bagi memantau gerak kerja Op SAR insiden tanah runtuh di Batang Kali, hari ini.

TDM dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini, memaklumkan antara aset yang diaturgerak adalah dua eskevator jenis PC 210 LC-10M milik pasukan 91 Rejimen Askar Jurutera Diraja dan seekor anjing pengesan.

"Panglima 4 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Ya'cob Samiran dan Panglima 11 Briged Fazal Abdul Rahman turut berada di lokasi kejadian bagi memantau gerak kerja Op SAR.

"Bantuan kemanusiaan dan bencana sebegini adalah bertepatan dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-28 iaitu 'Pengukuhan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam'.

"Ia menekankan aspek menjalin hubungan kerjasama antara organisasi dan agensi awam dalam mendepani isu serta krisis melanda negara," katanya.

⁃ ends

Keterangan gambar:

1. Pesawat Helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan MEDEVAC membawa seorang lelaki warga emas yang menghidap sakit jantung dan seorang bayi lelaki dari Pangkalan Udara Gong Kedak ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu dengan pesawat EC 725 AP dari No 10 Skuadron, Pangkalan Udara (PU) Kuantan, hari ini.

2. Panglima 4 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Ya'cob Samiran dan Panglima 11 Briged Fazal Abdul Rahman turut berada di lokasi kejadian bagi memantau gerak kerja Op SAR insiden tanah runtuh di Batang Kali, hari ini.

3. Antara aset yang diaturgerak TDM adalah dua eskevator jenis PC 210 LC-10M milik pasukan 91 Rejimen Askar Jurutera Diraja dan seekor anjing pengesan.

From: No'Rule

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 11:01 PM