Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang memperuntukkan RM7.8 juta sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijadualkan bermula November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan, berkata setakat ini, segala persediaan membabitkan penghantaran barang keperluan sudah dilakukan di 159 pangkalan hadapan.

Katanya, sebanyak 856 pusat pemindahan sementara (PPS) disediakan membabitkan balai raya, sekolah, masjid dan surau bagi kemudahan kepada mangsa banjir.

"Terima kasih kepada Menteri besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang memberikan peruntukan yang besar iaitu RM7.8 juta sebagai persediaan menghadapi banjir.

"Segala persiapan dilaksanakan sepenuhnya untuk memastikan keselesaan kepada mangsa banjir apabila berada di PPS.

"Insya-Allah, rakyat Pahang tidak perlu bimbang kerana segala persiapan sudah dilakukan termasuk penghantaran bekalan makanan," katanya ketika ditemui media pada Program Memacu Kehidupan Sentuhan Kasih Deepavali di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Yayasan PETRONAS memberi sumbangan kepada 100 keluarga B40 di Pahang membabitkan tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Bentong.

Hadir sama, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Siti Nor Hasma Mat Isa.

Datuk Sabariah Saidan (kanan) dan  M Ahmad Shazly Ramli  (kiri) bersama penerima  sumbangan Program Memacu Kehidupan Sentuhan Kasih Deepavali di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Datuk Sabariah Saidan (kanan) dan M Ahmad Shazly Ramli (kiri) bersama penerima sumbangan Program Memacu Kehidupan Sentuhan Kasih Deepavali di Kuantan. FOTO Asrol Awang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 8:34 AM