Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM27 juta kepada Kerajaan Pahang bagi mengurangkan masalah banjir dalam jangka masa pendek di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata justeru, peruntukan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya terutama bagi projek yang tidak membabitkan kos tinggi.

Katanya, antara projek yang akan diberikan perhatian ialah kerja mendalamkan sungai dan melebarkan longkang.

"Baru-baru ini, Pahang juga terkesan akibat banjir walaupun tidak teruk seperti di negeri lain.

"Sehubungan itu, saya mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Pusat dan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan memaklumkan kerja jangka masa pendek yang perlu diselesaikan berkaitan banjir.

"Berikutan itu, Kerajaan Pusat menyalurkan RM27 juta kepada kerajaan negeri dan kita akan menggunakan peruntukan sebaik mungkin untuk membantu mengurangkan masalah banjir di Pahang," katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Wang Ihsan Banjir daerah Kuantan di Sekolah Kebangsaan Pelindung, di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 206 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas banjir baru-baru ini menerima RM1,000 setiap keluarga.

Beliau berkata, di Pahang, seramai 802 KIR yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) itu.

Katanya, sepanjang tempoh Monsun Timur Laut yang berlaku baru-baru ini, tujuh daerah di Pahang terbabit dengan kejadian banjir.

"Daerah berkenaan ialah Lipis, Jerantut, Raub, Temerloh, Bera, Kuantan dan Pekan," katanya.

 WAN Rosdy menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir di Kuantan. FOTO Asrol Awang.
WAN Rosdy menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir di Kuantan. FOTO Asrol Awang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 6:41 PM