Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Empat individu yang dipercayai sesat ketika melakukan pendakian di kawasan hutan di Pengkalan Gawi Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, sudah ditemui.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Berang Hanaffi Mohd berkata, kesemua empat pendaki ditemui selamat kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Menurutnya, kesemua mangsa berusia 24 hingga 39 tahun dari daerah ini difahamkan ke hutan berhampiran kawasan Pengkalan Gawi Tasik Kenyir, untuk memikat burung.

"Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan kira-kira jam 6.45 petang selepas kesemua mangsa berjaya ditemui.

"Keempat mangsa ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi sekumpulan individu yang melakukan aktiviti perkhemahan di kawasan hutan itu," katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap orang ramai lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti pendakian bagi mengelak kejadian sama berulang.

Terdahulu, Hanaffi Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 5.07 petang semalam.

Menurutnya, lapan pegawai bersama anggota dari Balai Bomba Kuala Berang, bersama jentera dan unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian.

Menurutnya, berdasarkan maklumat kesemua mangsa adalah individu dewasa di dapati sesat ketika mendaki di kawasan Pengkalan Gawi Tasik Kenyir.

Katanya, operasi lebih sejam berjaya menemui kesemua mangsa yang hilang di kawasan berkenaan.

Berita berkaitan:

  • 4 pendaki sesat di hutan Pengkalan Gawi, masih hilang
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 12:16 PM