RAZALI (kiri) melihat anak pokok bunga orkid semasa melakukan lawatan di Taman Orkid, Tasik Kenyir. FOTO Ghazali Kori
RAZALI (kiri) melihat anak pokok bunga orkid semasa melakukan lawatan di Taman Orkid, Tasik Kenyir. FOTO Ghazali Kori
Zaid Salim

JARINGAN Internet dan telekomunikasi di seluruh kawasan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu akan diperluaskan daripada 10 kepada 70 peratus menjelang 2021.

Pengerusi Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, setakat ini hanya terdapat tiga menara telekomunikasi di Tasik Kenyir iaitu di Pulau Camar, Tanjung Betung dan Pulau Bayas.

Beliau berkata, sistem telekomunikasi di Tasik Kenyir penting bagi mengesan kedudukan bot sekiranya berlaku kecemasan.

"Kawasan keseluruhan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara ini sangat luas iaitu 200,000 hektar dan menara perlu ditambah bagi memiliki capaian telekomunikasi dan Internet yang baik.

"Sebagai contoh seandainya ada pelancong sesat atau hilang atau berlaku perlanggaran bot atau bot rosak, mudah bagi pengurusan bot terbabit di darat menerima maklumat dan segera menghantar bantuan.

"Sekarang liputan telekomunikasi di tasik ini sangat lemah. Kalau pergi jauh dalam setengah jam dari Pengkalan Gawi, tahap liputan semakin terhad dan kalau jauh lagi ke dalam sehingga ke sempadan Taman Negara, langsung tidak ada liputan," katanya selepas melakukan lawatan di Taman Orkid dan Santuari Kelah sempena Program Lawatan Kerja Pengerusi Ketengah Bersama Media di Tasik Kenyir, semalam.

Razali berkata, Ketengah merancang menjadikan 2021 sebagai Tahun Melawat Kenyir dan liputan Internet serta telekomunikasi baik akan memberi keyakinan kepada orang ramai dan pelancong dari dalam serta luar negara.

Beliau berkata, capaian telekomunikasi itu penting bagi keperluan dan keselesaan pelancong untuk berhubung dengan keluarga atau rakan ketika berada dalam kawasan Tasik Kenyir berkenaan.

Sehubungan itu, beliau memohon Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mempertimbangkan untuk menyegerakan usaha menambah baik liputan telekomunikasi di tasik berkenaan.

"Kita tahu agak sukar untuk operator telekomunikasi membuat pelaburan di Tasik Kenyir berikutan ia luas dan terdapat banyak pulau, jadi kita minta kerajaan melabur demi kebajikan dan kepentingan rakyat.

"Sekiranya penyediaan liputan telekomunikasi di seluruh tasik itu sukar dan memerlukan kos sangat tinggi, kami mencadangkan satu pusat terminal komunikasi Tasik Kenyir diwujudkan untuk mengesan lokasi bot beroperasi di seluruh kawasan ini.

"Jadi, dalam bot boleh dipasang peranti 'wireless' yang boleh berhubung dengan pusat terminal itu supaya sekiranya berlaku kecemasan, mudah bagi kita mengesan lokasi bot terbabit dan memberi bantuan dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 6:15 PM