Keadaan basikal mangsa yang dilanggar sebuah bas di Kilometer 20 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, dekat Ijok, hari ini. FOTO: Ihsan Pembaca
Keadaan basikal mangsa yang dilanggar sebuah bas di Kilometer 20 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, dekat Ijok, hari ini. FOTO: Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kegembiraan sekumpulan penunggang basikal berkonvoi bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah bas di Kilometer 20 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, dekat Ijok, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 36 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sungai Buloh kira-kira jam 11.12 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 9.43 pagi.

Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah basikal dan bas dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila penunggang basikal melanggar gumpalan tar yang berada tepi lorong kiri jalan.

"Ia menyebabkan basikal mangsa terbabas dan jatuh di laluan lorong kanan jalan. Pada masa sama, sebuah bas di lorong sama cuba membrek dan mengelak namun melanggar mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini

Ramli berkata, lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba jam 8.38 pagi.

"Pemeriksaan mendapati penunggang basikal itu terperosok di bawah bas dan mengalami cedera parah.

"Anggota bomba kemudian mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 7:49 PM