PENUNGGANG motosikal berusia 18 tahun yang tular di laman sosial ditahan polis. FOTO ihsan polis
PENUNGGANG motosikal berusia 18 tahun yang tular di laman sosial ditahan polis. FOTO ihsan polis
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Berlagak dengan menunggang motosikal milik rakan yang diubahsuai dalam keadaan laju dan berbahaya.

Tindakan itu yang dirakam dan tular di media sosial akhirnya menjerat diri apabila seorang lelaki ditahan polis di Kampung Nelayan, Sungai Buloh, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 30 saat yang memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal di Kilometer 16 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, menghala ke Ijok, jam 6 petang semalam.

"Siasatan awal mendapati video itu dirakam pada 3 September lalu dan dimuat naik di Instagram, pada 5 September.

"Pada 7 malam, kami berjaya mengesan motosikal itu bersama pemiliknya di sebuah bengkel motosikal di Jalan Rizab Masjid, Bukit Hijau.

"Semakan mendapati kenderaan terbabit tidak mempunyai nombor pendaftaran depan dan belakang selain nombor enjin dan casis sudah diusik.

"Pemilik berusia 20 tahun dan motosikalnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, siasatan kemudian membawa kepada penahanan penunggang motosikal berusia 18 tahun, pada 8 malam hari yang sama.

"Polis merampas sebuah telefon bimbit, sweater lengan panjang dan seluar panjang milik lelaki terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sehubungan itu, Ramli berkata, pihaknya memberi amaran kepada individu yang terbabit dalam aktiviti motosikal yang menyalahi undang-undang.

"Jangan sesekali terbabit dalam sebarang aktiviti lumba haram atau pengubahsuaian motosikal.

"Orang awam dinasihatkan supaya menjadi pengguna jalan raya yang berhemah demi keselamatan semua pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 3:29 PM