Ahmad Hasbi


Seremban: Peniaga mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menyimbah cat merah di kediaman dua individu, Julai lalu.

Tertuduh, Mohamad Saiful Zulkefli, 25, dijatuhi hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh tangkap pada 28 Julai lalu, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

Mengikut pertuduhan, dia bertindak bagi seorang pemberi pinjaman wang telah menyimbah cat berwarna merah di tempat tinggal dua individu berusia 38 dan 40 tahun.

Kesalahan dilakukan di Taman Rasah Jaya dan Taman Pinggiran Golf, masing-masing dalam daerah Seremban antara jam 1.50 tengah hari hingga 2 petang, 22 Julai lalu.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29B (1) dan 29B (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 tanpa lesen yang boleh dihukum di bawah seksyen serta akta sama.

MOHAMAD Saiful dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas dua pertuduhan menyimbah cat merah ke kediaman dua individu, Julai lalu. FOTO Ahmad Hasbi
MOHAMAD Saiful dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas dua pertuduhan menyimbah cat merah ke kediaman dua individu, Julai lalu. FOTO Ahmad Hasbi

Jika sabit kesalahan bagi pertuduhan pertama, Mohamad Saiful boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.

Manakala bagi pertuduhan kedua, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 15 bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Iwana Sakinah Mohd Lajis.

Dalam rayuannya, Iwana Sakinah memaklumkan anak guamnya hanya berniaga secara kecil-kecilan dengan pendapatan RM1,000 sebulan dan merayu mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk penjara paling minimum.

Dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh, Norzaliza menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan dari tarikh tangkap bagi kedua-dua pertuduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 12:24 PM