Ahmad Hasbi


Seremban: Dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan sembilan bulan selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menyimbah cat ke rumah tiga individu di daerah ini serta memberikan notis berunsurkan ugutan, bulan lalu.

Tertuduh, Jobby Basri, 32 dan Wis Massiara, 41, mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli serta Syed Farid Syed Ali selepas pertuduhan dibacakan.

Kedua-dua tertuduh didapati mengganggu tiga peminjam wang dengan membuat simbahan cat berwarna merah di perkarangan rumah dan pagar serta memberikan notis berunsurkan ugutan.

Kesalahan dilakukan di tiga rumah masing-masing di Taman Pinggiran Golf, Taman Bukit Chedang dan Taman Seremban Jaya pada 19 dan 20 Ogos lalu.

Maka, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh maksimum lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Pusspa dan Nik Nur 'Aqilah Syarfa Nik Zaidi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 4:51 PM