Ahmad Hasbi

Seremban: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan penipuan tawaran pelaburan tidak wujud, tahun lalu.

Tertuduh, Shawn Lee Kim Boon, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama terbabit dengan pakatan jahat jenayah untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang iaitu menipu dengan memperdaya melalui aplikasi WhatsApp.

Tertuduh menyatakan bahawa skim pelaburan 'VanguardInvestment' adalah skim pelaburan yang wujud yang mendorong mangsa memasukkan wang ke dalam skim berkenaan yang mana ia bertentangan dengan Seksyen 415 Kanun Keseksaan.

Kesalahan dilakukan kira-kira jam 10 malam, 13 November 2021 di sebuah kondominium di Residensi Aster Pusat Si Mesa Putra di Nilai.

SHAWN dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas tuduhan menawarkan pelaburan tidak wujud tahun lalu. FOTO Azrul Edham
SHAWN dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas tuduhan menawarkan pelaburan tidak wujud tahun lalu. FOTO Azrul Edham

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 120(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman mencadangkan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Peguam, Alvin Tan merayu supaya jaminan minimum diberi terhadap anak guamnya kerana tertuduh perlu menanggung keluarga selain menjaga ibu berusia 65 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU).

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 11 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 2:40 PM