Ahmad Hasbi


Seremban: Tiga lelaki termasuk dua beradik mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas dua pertuduhan mengganggu peminjam wang dan ahli keluarga dengan menyimbah cat ke rumah dan memberikan nota ugutan jenayah, bulan lalu.

Tertuduh, Ameerul Ridhuan Shamsudin, 29, Mohd Lutfi Laily, 31, dan Mohd Rusdy Safuan Laily, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh secara bersama sebagai wakil pemberi pinjaman tanpa lesen didapati mengganggu seorang wanita berusia 41 tahun.

Tertuduh membuat simbahan cat berwarna merah di perkarangan rumah dan pagar serta memberikan notis berunsur ugutan: 'Ini peringatan pertama, hutang wang bayar wang. Jika awak masih tak nak selesaikan hutang, new year saya buat teruk.'

Kesalahan dilakukan pada jam 5.42 pagi di sebuah rumah beralamat di Taman Pinggiran Golf, di sini, 22 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, semua tertuduh secara bersama sebagai wakil pemberi pinjaman wang tanpa lesen mengganggu seorang wanita berusia 51 tahun iaitu ahli keluarga kepada peminjam wang.

Tertuduh membuat simbahan cat berwarna merah di perkarangan rumah dan pagar rumah serta memberikan notis berunsur ugutan: 'Jangan cat kami tukar petrol'.

Kejadian berlaku pada jam 5.30 pagi di sebuah rumah di Taman Paroi Jaya, di sini, 22 April lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen serta akta sama.

Jika sabit kesalahan hendaklah dikenakan denda tidak kurang RM50,000 tetapi tidak lebih RM250,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, dan dalam kes kesalahan yang kedua atau berturutan hendaklah juga dikenakan sebatan sebagai hukuman tambahan.

Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana sudah memberikan kerjasama penuh kepada polis sehingga suspek utama ditahan.

Mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menanggung ibu yang sedang sakit mengaku hanya menurut arahan suspek utama serta sudah insaf.

Timbalan Pendakwa Raya, M Kalaivanan memohon mahkamah menetapkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesan ugutan yang menyebabkan trauma kepada pengadu selain memberikan mesej bahawa orang awam sentiasa dilindungi daripada penjenayah.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 26 hari bagi kedua-dua pertuduhan bermula dari tangkap pada 26 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 11:51 AM
AMEERUL Ridhuan, Mohd Lutfi dan Mohd Rusdy mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas dua pertuduhan mengganggu peminjam wang dan ahli keluarga dengan menyimbah cat dan memberikan nota ugutan jenayah, bulan lalu. FOTO Azrul Edham
AMEERUL Ridhuan, Mohd Lutfi dan Mohd Rusdy mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas dua pertuduhan mengganggu peminjam wang dan ahli keluarga dengan menyimbah cat dan memberikan nota ugutan jenayah, bulan lalu. FOTO Azrul Edham