Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang pembantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, hari ini, atas tuduhan mengganggu dan membuat ugutan terhadap seorang peminjam wanita, Ogos lalu.

Tertuduh, Zulhilmi Nazran Zaifulnizam, 23, yang memakai kemeja berwarna biru bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Menurut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas sebagai wakil pemberi pinjaman wang tanpa lesen didapati mengganggu seorang wanita berusia 36 tahun dan keluarganya dengan menyimbah cat berwarna merah di pekarangan rumah, pagar dan mengunci pintu pagar serta memberikan notis berunsur ugutan 'sila settle elok-elok ini peringatan terakhir'.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Jalan K18, Vision Homes Seremban 2, di sini, pada 21 Ogos lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM50,000 tetapi tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan yang kedua atau berturutan hendaklah juga dikenakan sebatan sebagai hukuman tambahan.

Timbalan Pendakwaraya, Zulfikri Mohd Nasir menawarkan jaminan RM50,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya membuat rayuan supaya jaminan dapat dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan dan masih muda.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melaporkan diri pada hari Sabtu minggu pertama setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 November 2021.

Tertuduh, Zulhilmi Nazran Zaifulnizam, 23, dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, hari ini. FOTO AHMAD HASBI
Tertuduh, Zulhilmi Nazran Zaifulnizam, 23, dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, hari ini. FOTO AHMAD HASBI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 1:53 PM