Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil serius masalah kekurangan katil membabitkan wad bersalin di beberapa hospital kerajaan dan bercadang membawa isu itu ke mesyuarat Kabinet.

Timbalan menterinya Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kementerian yang lebih arif tentang isu terbabit adalah Kementerian Kesihatan (KKM), tetapi pihaknya turut sama membantu yang sewajarnya supaya ia dapat diselesaikan dengan baik.

Katanya, kementerian peka akan masalah yang menimpa rakyat terutama golongan wanita dan berharap agar kesulitan sebegini dapat diselesaikan segera.

"Kita faham keresahan golongan ibu yang bakal bersalin yang mana mereka juga perlukan tempat selesa untuk proses melahirkan. Insya-Allah KPWKM akan membantu sebaik mungkin termasuk bekerjasama dengan KKM.

"Dalam masa sama, KPWKM dimaklumkan KKM sudah mengambil tindakan bagi menangani isu ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Go Digital-MPUK di Bazar siti Fatimah, di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, keluhan wanita yang bersalin di beberapa hospital kerajaan yang ditempatkan di kerusi sepanjang tempoh menunggu kelahiran bayi dengan ada yang terpaksa menunggu berhari-hari untuk mendapatkan katil.

Selain itu, mereka juga berdepan pelbagai kesulitan, antaranya terpaksa merujuk ke beberapa hospital sebelum diterima masuk ke wad kerana alasan sama, iaitu jumlah pesakit dalam satu masa terlalu ramai dan kekurangan katil.

SITI Zailah beramah mesra bersama peserta Jelajah Go Digital-MPUK. FOTO Syaherah Mustafa
SITI Zailah beramah mesra bersama peserta Jelajah Go Digital-MPUK. FOTO Syaherah Mustafa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 5:50 PM