Nor Fazlina Abdul Rahim

Rantau Panjang: Sumbangan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang lemas akibat banjir akan diberikan selepas selesai proses kenal pasti kesemua mangsa.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, setakat ini proses mengenal pasti mangsa giat dilakukan.

Katanya, sumbangan itu akan diberikan selepas proses kenal pasti selesai dijalankan sama ada keluarga kepada mangsa yang meninggal dunia layak menerima bantuan itu atau sebaliknya.

"Duit sudah ada cuma kita nak kenal pasti keluarga mangsa layak atau tidak, selain mendapatkan pengesahan daripada surat hospital serta ketua kampung.

"Justeru, mana-mana keluarga yang kehilangan ahli keluarga akibat banjir boleh memaklumkan kepada penghulu," katanya selepas menyampaikan sumbangan wang ehsan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, di sini, hari ini.

Seramai 47 korban banjir dicatatkan sehingga Ahad lalu, manakala lima daripada mereka masih belum ditemukan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui kenyataan memaklumkan lima mangsa membabitkan lelaki dewasa dalam kejadian banjir di Pahang.

Dalam perkembangan lain, Siti Zailah berkata, lebih 900 kaunselor sudah turun padang bagi memberi motivasi kepada mangsa yang mengalami trauma akibat banjir baru-baru ini.

"Pada masa sama, kami mengalu-alukan agamawan turun padang memberi motivasi.

"Kepada mangsa banjir, kena yakin bahawa musibah yang berlaku ada hikmah di sebaliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 2:47 PM
SITI Zailah (kanan) menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada salah seorang penerima ibu tunggal, Suwaibah Ibrahim, 45 pada Majlis Agihan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir Monsun Timur Lautdi Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SITI Zailah (kanan) menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada salah seorang penerima ibu tunggal, Suwaibah Ibrahim, 45 pada Majlis Agihan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir Monsun Timur Lautdi Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar