Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Hampir 100,000 penduduk 62 kampung di seluruh Rantau Panjang mengakui kecewa dengan pembinaan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang dianggap gagal.

Penduduk mendakwa sejak pembinaan benteng dimulakan pada 2018, keadaan banjir di kampung terbabit menjadi semakin teruk dengan kemuncaknya pada Disember tahun lalu apabila hanya tujuh kampung di Parlimen Rantau Panjang yang terselamat dari bencana alam itu.

Salah seorang mangsa banjir, Roslan Deraman, 44, berkata pembinaan benteng sejak beberapa tahun lalu bagaikan mimpi ngeri apabila Kampung Gual Periok di sini, yang tidak pernah dilanda banjir turut dinaiki air dengan paras yang tinggi.

Katanya, tiada apa yang perlu dibuktikan lagi kerana projek PLSB berkenaan adalah punca utama banjir besar berlaku sehingga hampir keseluruhan Rantau Panjang dinaiki air.

"Penduduk di sini sudah biasa dengan banjir, malah tidak berasa takut. Semuanya berubah sekelip mata apabila air yang 'datang' adalah bah besar yang bukan sahaja menenggelamkan rumah dan merosakkan harta benda tetapi juga kehilangan nyawa.

LEBIH 500 penduduk di Parlimen Rantau Panjang menyertai demostrasi aman membantah pembinaan PLSB di Kampung Tersang, di sini, hari ini  FOTO Syaherah Mustafa
LEBIH 500 penduduk di Parlimen Rantau Panjang menyertai demostrasi aman membantah pembinaan PLSB di Kampung Tersang, di sini, hari ini FOTO Syaherah Mustafa

"Sudah beberapa kali memorandum dan rayuan disampaikan kepada pihak berwajib supaya lebih cakna dengan nasib penduduk di sini, namun ia seperti sia-sia sahaja sehingga banjir lebih teruk melanda.

"Saya mewakili penduduk merayu supaya pembinaan benteng terbabit dikaji semula atau terus diberhentikan sahaja supaya banjir yang lebih teruk tidak berlaku," katanya ketika ditemui selepas menyertai bantahan aman pembinaan PLSB di Kampung Tersang di sini, hari ini.

Seramai lebih 500 penduduk daripada seluruh Parlimen Rantau Panjang yang terjejas banjir menyertai bantahan aman itu bagi menyuarakan rayuan dan nasib mereka akibat pembinaan benteng terbabit.

Setiap wakil dari kampung terbabit banjir diberikan masa untuk bersuara dan bantahan turut dikawal anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Sementara itu, pengerusi bantahan aman itu, Zaril Yakob, berkata perhimpunan terbabit adalah satu-satunya cara untuk menyedarkan pihak berwajib akan kesengsaraan penduduk yang terjejas banjir akibat pembinaan benteng.

"Ada segelintir penduduk yang diberitahu awal akan projek PLSB, tetapi yang dimaklumkan kepada mereka ia membabitkan Sungai Golok. Namun, situasi sekarang projek dilakukan di Sungai Lachang dan Sungai Lubok Jong yang menyebabkan banjir besar berlaku.

"Pihak berwajib digesa mengambil tindakan segera seperti membina laluan air supaya penduduk tidak lagi menderita dengan banjir besar. Jangan hanya fikir keuntungan sendiri kerana mereka sebenarnya sedang mempertaruhkan ratusan ribu nyawa," katanya.

Menurutnya, mereka dalam usaha mengumpul salinan kad pengenalan semua penduduk terbabit sebagai tanda sokongan untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 1:16 PM