HISHAMMUDDIN menyampaikan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abdul Aziz (dua dari kanan) hari ini. FOTO Bernama
HISHAMMUDDIN menyampaikan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abdul Aziz (dua dari kanan) hari ini. FOTO Bernama
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (Mindef) berjaya melunaskan sebahagian besar perancangan 2022 yang dirangka dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kejayaan ini membuktikan Mindef sentiasa ke hadapan memberikan yang terbaik buat warganya dan negara.

Beliau berkata, beberapa perancangan Mindef sudah berjaya dilunaskan antaranya Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT), perolehan kapal misi pesisir (LMS) dan enam helikopter MD-530G.

"Sebagai kementerian dan pasukan yang diamanahkan memelihara keamanan negara, kita tiada pilihan selain harus sentiasa menggalas tanggungjawab dengan cemerlang dan ia terbukti.

"Tidak sampai empat bulan, saya nyatakan bahawa sebahagian perancangan itu selesai dengan jayanya," katanya ketika berucap Majlis Anugerah Pencapaian Cemerlang (APC) Mindef, di sini, hari ini.

Katanya, kejayaan membabitkan agenda perumahan menunjukkan sebanyak 305 unit RKMAT di Kem Segamat; 204 unit RKMAT di Kem Pakit dan 20 unit RKMAT Kem Oran berjaya dibina.

Beliau berkata, Mindef merancang membina 12,000 unit RKMAT lagi dalam tempoh Rancangan Malaysia (RMK) ke-12 dan ke-13 di bawah Blueprint Perumahan 3.0 yang sudah siap.

Katanya, agenda kebajikan turut diberi penekanan membabitkan penambahbaikan kadar dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

"Perdana Menteri sudah mengumumkan pada 6 Mac lalu, dividen LTAT bagi tahun 2021 ialah 4.1 peratus iaitu yang tertinggi sejak 2019.

"Ini semestinya menambah lagi semangat Mindef dan LTAT untuk menjayakan perancangan seterusnya iaitu pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera bagi membolehkan tabung persaraan yang diuruskan LTAT dijamin sepenuhnya kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 7:21 PM