BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengumumkan jumlah dividen dan bonus sebanyak 12 peratus berjumlah RM693.8 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Dividen dan bonus 12 peratus itu merangkumi enam peratus dividen dan enam peratus bonus khas dalam bentuk unit amanah untuk anggota yang aktif.

Dividen dan bonus itu akan dibayar kepada anggota yang menyumbang bermula Isnin 14 Mac, kata LTAT dalam satu kenyataan.

Sejak 43 tahun lalu, purata dividen dan bonus tahunan yang dibayar ialah 11.3 peratus setahun.

Untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, LTAT mencatat keuntungan sebelum diaudit berjumlah RM766.8 juta.

Jumlah asetnya meningkat 1.1 peratus kepada RM9.4 bilion berbanding RM9.3 bilion pada 2014.

Sumbangan anggota juga meningkat kepada RM9.1 bilion berbanding RM8.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, berikutan iklim ekonomi tempatan dan global yang mencabar, ia berterima kasih kepada anggota angkatan tentera serta keluarga mereka mendapat faedah daripada pengagihan dividen yang kukuh berikutan pencapaiannya pada 2015.

"Seiring dengan komitmen kami untuk memastikan kebajikan anggota angkatan tentera dan keluarga mereka dipelihara, kami telah mengambil langkah melindungi portfolio pelaburan kami bagi memastikan kami kekal sebagai sebuah entiti yang menguntungkan," katanya.

Setakat ini, sumbangan daripada LTAT dan syarikatnya serta Yayasan Warisan Perajurit (YWP) kepada anggota angkatan tentera yang masih berkhidmat dan telah bersara yang layak, berjumlah RM209.7 juta.

LTAT dan syarikatnya juga merancang membina 2,988 unit rumah mampu milik di Taman LTAT Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 210 unit di Mutiara Rini, Johor dan 300 unit di Bandar Segari, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 9:47 PM